lundi 26 janvier 2015

Proses Evolusi Kewujudan Manusia dan Sistem 'Kasta' Dalam Buddhisme

Proses "pembentukan dan kemusnahan dunia"

berlaku berulang kali dalam tempoh yang

sangat lama yang tidak mampu dihitung,

seolah-olah tiada pangkal dan hujungnya.

Selepas dunia musnah, angkasa dipenuhi air.

Seluruh angkasa gelap gelita. Matahari dan

bulan belum wujud. Bintang-bintang juga

belum wujud. Malam dan siang juga belum

wujud. Bulan, tahun dan musim juga belum

ada. Makhluk pun hanya dikenali sebagai

makhluk sahaja. Belum terdapat pembahagian

makhluk mengikut jenis-jenisnya seperti

devata, manusia, binatang dan sebagainya.

Masa beredar, air yang memenuhi angksa pun

semakin surut. Proses pembentukan dunia

berlaku sedikit demi sedikit, selapis demi

selapis bersama air yang sedang surut

tersebut.



Setelah masa berlalu begitu lama, "pati tanah"

yang dipanggil nguan din (ง้วนดิน) terbentuk

dan terapung di permukaan air seperti susu

segar yang apabila dimakan akan berasa sejuk

dan sedap. Pati tanah ini mempunyai warna

yang cantik, wangi dan rasa yang sangat sedap.

(Saya tidak tahu mahu menggunakan istilah

apa, lalu menggunakan istilah "pati tanah".)



Phrom tertarik dengan "pati tanah" lalu

mencalitnya dengan jari lalu dirasa. Setelah

dirasa keenakannya, maka nafsu kemahuan pun

merebak ke seluruh badan (badan Phrom

dalam bentuk cahaya). Phrom-phrom lain pun

ikut merasa pati tanah tersebut. Maka nafsu

kemahuan pun merebak ke segenap tubuh

mereka. Pada asalnya, Phrom tiada nafsu

kemahuan seperti manusia. Makanan mereka

ialah piti. Setelah wujud nafsu kemahuan

terhadap makanan, para Phrom tersebut mula

mengambil "pati tanah" dengan kadar yang

banyak. Mereka mengepal-gepal "pati tanah"

untuk dijadikan makanan. Sewaktu mereka

sedang mengepal-gepal pati tanah, cahaya yang

memancar-mancar di tubuh mereka pun malap

dan hilang. Suasana menjadi gelap gelita.

Setelah cahaya di tubuh Phrom hilang, maka

matahari dan bulan pun tiba-tiba wujud.

Bintang-bintang pun wujud. Siang dan malam

pun wujud. Bulan, tahun dan musim pun

wujud. Proses pembentukan dunia pun berlaku.



Para Phrom makan "pati tanah" sebagai

makanan dalam tempoh yang lama. Maka

pembentukan tubuh badan dengan warna kulit

yang berbeza-beza mula terjadi. Perkara ini

terjadi hasil daripada memakan pati tanah.

Mereka yang mempunyai warna kulit yang

cantik memandang rendah kepada mereka yang

mempunyai warna kulit yang hodoh. Oleh itu,

kesombongan pun wujud di hati mereka.

Sewaktu mereka dengan kesombongan masing-

masing "pati tanah" tiba-tiba lenyap.



Setelah "pati tanah" jenis nguan din hilang,

wujud pula "pati tanah" yang lain iaitu kapik

din
(กะบิดิน) dan krea din (เครือดิน). Kemudian

barulah wujud bijian iaitu khao sali (ข้าวสาลี).

Bijian ini berbentuk seperti beras. Para

makhluk (Phrom) menjadikan bijian sebagai

makanan. Setelah masa berlalu, terbentuk

makhluk lelaki dan makhluk wanita. (Kita harus

ingat bahawa pada asalnya Phrom tiada

jantina). Setelah makan makanan dunia,

makhluk yang berasal dari dunia Phrom

membentuk jantina. Makhluk lelaki asyik

memandang makhluk wanita dan begitu juga

sebaliknya. Maka nafsu berahi pun timbul di

hati masing-masing. Akibatnya terdapat

makhluk yang melakukan hubungan kelamin.

Apabila diketahui makhluk lain, pasangan yang

melakukan hubungan kelamin dimarahi,

dikutuk dan dicerca kerana ini bukan kelaziman

Phrom (Phrom pada asalnya tiada jantina, oleh

itu tiada hubungan kelamin). Hubungan

kelamin merupakan sesuatu yang terkutuk bagi

Phrom.



Namun, kemahuan terhadap nafsu berahi tidak

mampu dikekang. Untuk mengelakkan dilihat

makhluk lain, makhluk yang berpasangan

terpaksa membina kediaman. Dari sinilah

wujudnya rumah kediaman. Kemudian wujud

pula tempat menyimpan makanan. Apabila ada

makanan yang disimpan, ada pula yang

mencuri makanan. Kecurian juga berlaku.

Perasaan "ini hak aku dan itu hak kamu" juga

wujud. Dari masa ke masa makhluk-makhluk

ini melakukan Karma jahat satu persatu

sehinggalah mereka menjadi manusia

sepenuhnya. Jadi, asal manusia daripada Phrom

(cahaya) yang telah memakan makanan dunia

hingga bertukar rupa kepada manusia - sedikit

demi sedikit hingga menjadi manusia yang

sempurna dengan sifat baik dan buruknya.



Oleh sebab pelbagai kejahatan terjadi,

kumpulan makhluk ini berbincang untuk

mencari makhluk yang paling baik, paling

sempurna warna kulitnya untuk dilantik sebagai

ketua mereka. Ketua ini akan dibekalkan khao

sali. Dia mempunyai kuasa melarang, menegur

dan menghalau sesiapa yang melakukan

kejahatan daripada kumpulan mereka. Dari sini

maka wujudlah permulaan cara hidup

bermasyarakat yang berkonsepkan "Ketua dan

pengikut". Ketua boleh mengeluarkan arahan

dan peraturan yang mesti dipatuhi masyarakat

di bawahnya.



Ketua merupakan "harta" masyarakat. Oleh itu,

istilah mahasombat (harta yang besar) wujud

sebagai istilah pertama dalam masyarakat ini.



Daripada konsep Ketua, lahirlah konsep Raja.

Istilah Kasat (kerajaan) merupakan istilah

kedua wujud dan istilah Raja merupakan

istilah ketiga wujud. Apabila wujud raja, dengan

sendirinya wujud rakyat.



Perkembangan kebudayaan dan ketamadunan

manusia pun bermula dari sini dan berkembang

dari masa ke masa, dari tahap ke tahap.



Setelah kejahatan semakin banyak, golongan

Brahmana pun wujud bagi memberi tunjuk ajar

kepada kebaikan dan kejahatan.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire