Matrade
INDUSTRI herba tempatan dijangka berkembang 15 peratus setahun dan bernilai RM29 bilion menjelang 2020 kerana produknya kini semakin popular, didorong oleh kecenderungan pengguna ke arah gaya hidup yang lebih sihat, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia(Matrade).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata industri herba merupakan industri yang mempunyai masa depan yang cerah dan Malaysia berkedudukan baik menjadi peserta global utama kerana negara ini kaya dengan biodiversiti serta mempunyai latar budaya dan hubungan perdagangan.
Beliau berkata industri herba menyumbang ke arah pengeluaran pelbagai produk daripada penjagaan kesihatan, makanan, kosmetik hinggalah kepada produk penjagaan peribadi.
Pasaran herba global bernilai US$70 bilion bagi nutraseutikal dan US$20 bilion bagi phytomedicine dengan kadar pertumbuhan purata antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun, katanya kepada pemberita pada previu Pameran Perdagangan Herba Asia Kelapan 2014, di Kuala Lumpur.
Pengarah Projek Herba Asia 2014 Safinah Yaakob berkata pameran itu akan menumpukan kepada memudahkan hubungan perniagaan kerana peserta industri herba Malaysia menyasarkan pasaran eksport.
Beliau berkata setakat ini, 100 gerai pameran telah ditempah oleh syarikat dari Taiwan, Argentina, Fiji dan Malaysia untuk mempamerkan produk, mesin dan teknologi mereka.
"Pameran perdagangan itu dijangka menjana jualan bernilai RM8 juta berbanding RM5 juta tahun lepas apabila tumpuan adalah pada pengguna," katanya.
Pameran Perdagangan Herba Asia 2014 yang bertemakan 'Go Herbal, Go Green, Natural is Now' akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade pada 9-11 Oktober dan dibuka kepada orang ramai hanya pada hari akhir.
Antara program yang diadakan semasa pameran itu ialah dialog perniagaan, pameran kerjaya, kunjungan industri dan lawatan ke ladang serta pertandingan memasak sihat. - Bernama
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire