vendredi 31 juillet 2015

'Abang hilang tengah sungai'

JERANTUT - "Saya dan tujuh lagi rakan cuma nampak abang berenang, tetapi tiba-tiba dia hanyut ke hilir kerana air yang begitu deras dan hilang daripada pandangan kami."

Demikian kata Mohd Fazirul Mohd Aspar, 22, ketika menceritakan detik cemas kejadian yang menimpa abangnya, Mohamad Amirul Mohd Aspar, 25, yang dikhuatiri lemas akibat dibawa arus Sungai Pahang berdekatan Kampung Pedah, Jerantut Feri, di sini.

Dalam kejadian pada jam 7.15 petang kelmarin, mangsa dipercayai mahu berenang ke sebuah daratan di tengah Sungai Pahang selepas selesai melepaskan benih ikan di projek ternakan ikan sangkar miliknya berdekatan tempat kejadian.

"Abang cuba menyeberangi sungai untuk bersama saya dan tujuh lagi rakan yang berada di Pulau Dedari untuk mandi bersama selepas melepaskan anak ikan di sangkar berdekatan.

"Setelah melihat kelibat abang hilang di tengah sungai, saya dan rakan bergegas ke tempat abang tenggelam dengan menggunakan bot untuk menyelamat, tetapi gagal," katanya di sini, semalam.

Bapa mangsa, Mohd Aspar Bahasim, 60, berkata dia reda dengan ketentuan ALLAH apabila kejadian itu menimpa ke atas anak sulungnya ketika umat Islam masih lagi meriah berhari raya.

Mohd Aspar yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Jerantut Feri, berkata, ahli keluarga berharap Mohamad Amirul ditemui segera dan berterima kasih kepada anggota beruniform dan penduduk setempat yang berusaha mencari mangsa sejak malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, Mohamad Amirul anak sulung daripada lima beradik itu terjun ke sungai berkenaan untuk menyeberang ke daratan di tengah sungai berkenaan yang dikenali sebagai Pulau Dedari dan tiba-tiba hilang ditelan arus.

"Melihat kejadian itu, seramai tujuh rakan dan seorang adiknya yang berada di pulau berkenaan cuba menyelamatkan mangsa menggunakan bot, tetapi sudah terlewat kerana Mohamad Amirul tenggelam dibawa arus.

"Berikutan kejadian ini, operasi mencari mangsa dikerahkan pasukan penyelamat, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk tempatan," katanya.

Azid berkata, operasi mencari mangsa semalam diberhentikan pada jam 11 malam kelmarin berikutan cuaca gelap dan hujan renyai.

Menurutnya, operasi disambung semula pada jam 7.30 pagi semalam dengan melibatkan seramai lima anggota penyelam pasukan Bomba Temerloh , PDRM (10), JPAM (5) dan 30 penduduk di situ dengan menggunakan lapan bot.

Dalam pada itu, Timbalan Komanden Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat Zon Temerloh, Mohd Arshad Abdullah, berkata, usaha mencari telah dimulakan sejurus menerima panggilan dan ditangguhkan pada jam 11.59 malam kelmarin.

"Operasi mencari disambung semula pada jam 7.30 pagi ini (semalam) dengan menggunakan lapan bot membabitkan kawasan pencarian seluas 400 meter dan sehingga petang ini (semalam) mangsa belum dijumpai," katanya.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire