vendredi 31 juillet 2015

Idea kreatif mampu tingkat pelancongan


IDRIS HARON (tengah) menerima cenderamata daripada Ghazale Muhamad selepas merasmikan Sesi Teh Tarik Bersama Ketua Menteri Melaka di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka, kelmarin.

MELAKA 31 Julai - Pengusaha produk pelancongan di Melaka digesa membantu kerajaan negeri menghasilkan idea-idea yang kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kualiti pelancongan di negeri ini sekali gus mampu bagi menarik ramai pelancong datang ke Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, para pengusaha pelancongan tersebut juga tidak seharusnya bergantung kepada produk sedia ada khususnya lokasi sejarah yang banyak terdapat di negeri ini.

Sebaliknya kata beliau, mereka perlu berusaha mewujudkan lokasi tumpuan pelancongan yang terbaharu dan menarik untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang menjadi pilihan pelancong.

"Saya menggesa pengusaha produk pelancongan di Melaka supaya jangan hanya bergantung kepada produk-produk sejarah sebaliknya beri idea yang lebih kreatif dan inovatif untuk menarik pelancong ke Melaka.

"Idea kreatif seperti itu wajar kerana Melaka perlu terus kekal memainkan peranan sebagai negeri pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Teh Tarik Bersama Ketua Menteri dan lebih 50 pengusaha produk pelancongan Melaka di sebuah hotel di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad.

Sesi Teh Tarik itu merupakan program dua kali setahun anjuran Bahagian Promosi Pelancongan kerajaan negeri bagi membincangkan hala tuju industri pelancongan Melaka antara kerajaan negeri dan pengusaha produk berkenaan.

Sementara itu dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut Idris berkata, perlu ada perkongsian idea antara kerajaan negeri dan para pengusaha produk kerana industri pelancongan negeri tidak boleh maju tanpa pemahaman semua pihak yang terlibat dalam industri berkenaan.

"Kerajaan negeri dan pengusaha perlu jujur untuk membangunkan pelancongan negeri. Sebagai contoh jika kerajaan negeri ceritakan (maklumkan) tentang sesuatu (usaha), pihak swasta mungkin ceritakan yang lain dan ini akan menggangu usaha membangunkan pelancongan negeri.

"Maklumat yang seragam ini akan membuatkan pelancongan di Melaka akan menjadi lebih menarik," jelasnya.

Dalam pada itu, Idris turut meminta pengusaha supaya memberi peluang kepada mana-mana pelabur dari luar negara yang berminat untuk mewujudkan prospek pelancongan di bandar raya ini atas nama pembangunan negeri.

"Apa salahnya kita beri peluang kepada pengusaha dari luar yang berminat untuk mendirikan hotel cotohnya di tengah-tengah pusat bandar warisan negeri kerana ini secara tidak langsung memberi peluang kepada peningkatan jumlah pelancong," kata beliau.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire