vendredi 31 juillet 2015

Bekas pengawal keselamatan dihukum gantung


SYAHMIE HASSAN dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh semalam kerana membunuh Rohani Kasim empat tahun lalu.

IPOH 31 Julai – Seorang bekas pengawal keselamatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali memutuskan demikian ke atas Syahmie Hassan, 24, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam alasan penghakimannya, Che Mohd. Ruzima berkata, tertuduh berada dalam keadaan sedar dengan tingkah laku yang dilakukannya iaitu sebelum, semasa dan selepas perbuatan jenayah tersebut berlaku.

Mahkamah dengan itu menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa dirinya sebagai tidak siuman apabila lelaki itu gagal membuktikan bahawa dia tidak mengetahui akan perbuatannya itu termasuk kesan daripada tindakan tersebut yang menyalahi undang-undang.

"Orang tidak siuman tidak akan bersedia dengan kelengkapan dan tidak dapat membuat pertimbangan sama ada mangsa masih bernyawa. Orang tidak siuman tidak akan melupuskan (bukti) dengan cuba membuang mayat mangsa dan tidak akan membuat persiapan untuk melarikan diri.

"Faktor tertuduh melarikan diri selepas ditegur oleh pengawal keselamatan dan meminta rakan serumah menghantar ke stesen bas untuk beredar dari daerah tersebut selain cara tertuduh mencekik semula mangsa menunjukkan dia tahu apa yang dilakukan serta terdapat perasaan bersalah.

"Fakta lain yang turut diambil kira ialah tertuduh mempunyai kekasih. Berdasarkan keterangan diberikan, pada malam tersebut (selepas kejadian), tertuduh masih boleh keluar dengan kekasihnya seperti pasangan kekasih lain," kata beliau.

Syahmie didakwa membunuh Rohani, 38, di Blok F, Tingkat 1, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Ulu Kinta di sini di antara pukul 6 petang dan 7.30 malam, 3 Ogos 2011.

Pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Tertuduh diwakili peguam Rafael Abdullah, tampil ke mahkamah dengan berbaju-T putih dan berseluar jeans, kelihatan tenang ketika mendengar keputusan mahkamah.

Dalam penghakimannya, Che Mohd. Ruzima turut berkata, walaupun ada sejarah tertuduh telah dimasukkan ke hospital akibat masalah kemurungan sebelum itu, tetapi pada masa kesalahan tersebut dilakukan, tertuduh telah pulih dan tidak lagi mengambil ubat.

Apatah lagi, kata beliau, tertuduh turut melepaskan nafsunya ke atas mangsa selepas kejadian tersebut (bersetubuh bersama mayat).

"Fakta tertuduh selamba balik ke rumah seperti tiada apa-apa berlaku (selepas kejadian waktu berbuka puasa) tidak membuktikan tertuduh tidak siuman. Tertuduh mungkin ada masalah kelakuan, tetapi tidak menjurus pada kesalahan ketika itu," kata beliau.

Menghuraikan hujah pendakwaan, Che Mohd. Ruzima berkata, biarpun tiada seorang pun yang melihat perbuatan jenayah berkenaan walaupun 20 saksi pendakwaan dipanggil, namun terdapat keterangan mencukupi menunjukkan tertuduh telah melakukan kesalahan tersebut.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire