MOHAMED KHALED NORDIN (dua dari kanan) diiringi oleh Suhaimi Salleh (tiga dari kanan) melawat gerai juadah burasak pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri DUN Kukup di Komplek Penghulu Mukim Serkat, Pontian, Johor, malam semalam. UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
PONTIAN 30 Julai - Kerajaan negeri akan terus memastikan kehidupan rakyat, termasuk penduduk luar bandar sentiasa dalam keadaan sejahtera serta menikmati segala kemudahan yang disediakan hasil daripada program pembangunan yang dilaksanakan selama ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat berhak untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dan pada masa yang sama mengharapkan jentera pentadbiran di semua peringkat membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat supaya mereka tidak tersisih daripada arus kemajuan.
Menurutnya, selari dengan konsep Muafakat Johor semua pihak perlu terus menjalin hubungan yang baik sebagai Bangsa Johor yang sentiasa saling bekerjasama antara satu sama lain.
“Kerjasama serta muafakat tidak terhenti dalam perkara-perkara tertentu dan harus melangkaui semua bidang kehidupan supaya dapat diterjemahkan kepada semua golongan serta kelompok masyarakat.
“Diharapkan konsep Muafakat Johor ini dapat ditingkatkan penerimaan dari semasa ke semasa menerusi penganjuran program-program yang akhirnya dapat melahirkan Bangsa Johor yang satu,” katanya pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup di Komplek Penghulu Mukim Serkat, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh; Pegawai Daerah Pontian, Kamaruddin Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Suhairi Hashim.
Kira-kira 2,000 orang yang menghadiri majlis jamuan tersebut disajikan pelbagai makanan seperti burasak, lepat loi, ketupat, lontong, soto, mi goreng, ubi rebus dan roti canai yang disediakan mengikut mukim di bawah DUN Kukup serta dihiburkan dengan persembahan tarian masyarakat Bugis.
Menteri Besar mengakui gembira dapat berkunjung dan menemui masyarakat di kawasan DUN Kukup serta Parlimen Tanjung Piai kerana bukan sahaja dapat menikmati pelbagai juadah masyarakat Bugis, malah yang lebih penting mendengar sendiri permasalahan rakyat di kawasan tersebut.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan kunci rumah kepada empat penerima program Bantuan Rumah oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire