jeudi 30 juillet 2015

Tokan dadah dicekup ketika cari pelanggan

KUANTAN - Seorang lelaki disyaki tokan dadah ditahan bersama dua paket plastik berisi sejumlah dadah ketika merayau mencari pelanggan berhampiran bulatan Taman Zurina di sini awal pagi kelmarin.

Kelibat mencurigakan suspek itu disedari anggota tugas khas Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan yang menjalankan pemantauan jenayah di kawasan itu bersama anggota D4 IPK Pahang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, curiga dengan lelaki tersebut, anggota terlibat bertindak menahannya untuk pemeriksaan.

"Suspek awalnya cuba melarikan diri bagaimanapun cubaannya berjaya dihalang dan hasil pemeriksaan, polis menemui dua plastik lutsinar mengandungi serbuk jernih serta sebiji pil warna kemerahan disyaki dadah dalam beg pinggang yang digunakan.

"Polis juga turut merampas wang tunai RM2,000 dipercayai wang hasil penjualan dadah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati dia juga positif dadah jenis amphetamine.

"Siasatan lanjut akan dijalankan ke atas suspek termasuk mengenal pasti bekalan dadah itu diperoleh serta sasaran penjualannya.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire