Mohd. Taufiq Kamsan (kanan), Azwan Abd Rahman (dua dari kiri) dan Mohd. Shafful Nizam Abdullah (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam selepas didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan tiga tahun lalu.
SHAH ALAM 30 Julai - Tiga sahabat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam kemalangan, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap juruteknik, Azwan Abdul Rahman, 23; penjual sayur, Mohd. Taufiq Kamsan, 25; dan pekerja pendawaian, Mohd. Shafful Nizam Abdullah, 25.
Beliau memutuskan demikian setelah berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Wong Sin Keong, 41, di tepi Jalan Mahkota 1, Batu 5 1/2, Bangi, Kajang dekat sini kira-kira pukul 5 pagi, 9 September 2012.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang mabuk dikatakan telah meminta salah seorang tertuduh menghantarnya ke rumah setelah kereta jenis BMW yang dipandunya terbabas dan melanggar penghadang jalan.
Semasa menghantar lelaki itu menggunakan kereta berkenaan, berlaku pertengkaran antaranya dengan tertuduh apabila lelaki terbabit menuduh salah seorang tertuduh mengambil telefon bimbitnya.
Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, pembelaan kesemua tertuduh yang mendakwa mangsa yang mabuk telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka hanya difikirkan kemudian.
“Sepatutnya kesemua tertuduh boleh sahaja meninggalkan mangsa dan keretanya ketika mangsa mengeluarkan kata-kata kesat itu,” ujar beliau.
Malah beliau menegaskan, mereka sepatutnya menghantar mangsa ke balai polis berhampiran dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menguruskan mangsa.
“Tiada alasan yang munasabah untuk semua tertuduh membawa mangsa ke tempat yang gelap dan jelas mereka mempunyai niat untuk mencederakan mangsa,” kata beliau.
Beliau juga berkata, terdapat kesan jerutan pada leher dan beberapa kecederaan lain pada badan mangsa seperti keterangan doktor pakar selain keterangan saksi yang memberitahu bahawa seorang daripada tertuduh telah menarik keluar mangsa dari keretanya.
“Justeru, tiada hukuman lain mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain kamu dihukum gantung di leher sehingga mati,” kata beliau.
Pendakwaan dikendali Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Suzana Abdul Latiff manakala tertuduh diwakili peguam-peguam, Roy Angau Ginkoi, Muhammad Ashraff Mohd. Diah dan Syazlin Mansur.
Dalam pada itu, pihak pembelaan memberitahu pemberita bahawa mereka akan mengemukakan rayuan untuk ketiga-tiga tertuduh.
Sepanjang perbicaraan yang bermula 14 Julai tahun lalu, pihak pendakwaan mengemukakan 20 saksi manakala pihak pembelaan memanggil ketiga-tiga tertuduh sebagai saksi pembelaan.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire