vendredi 31 juillet 2015

Pemuda dituduh bunuh jurutol


NORHALIS MOHAMAD ZAID dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Maran semalam selepas dituduh membunuh Noor Salwana Wahab di kilometer 163 LPT menghala Kuantan, pada 18 Julai lalu.

MARAN 31 Julai - Seorang lelaki berdepan hukuman gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang jurutol wanita yang mayatnya ditemukan dalam kereta jenis Perodua Viva yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada hari kedua Aidilfitri baru-baru ini.

Norhalis Mohamad Zaid, 29, yang bekerja sendiri didakwa membunuh Noor Salwana Wahab, 28, kira-kira pukul 9.20 pagi, 18 Julai lalu di Kilometer 163, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berasal dari Terengganu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak dibenarkan diikat jamin.

Norhalis turut menghadapi satu lagi tuduhan iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana disyaki menggunakan dadah jenis amphetamine ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini pada pukul 2 petang, 21 Julai lalu.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Syafiqah Noorinda menetapkan 7 September ini sebutan semula kedua-dua kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilla Md. Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Bob S. Arumugam.

Pada 23 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis mengesahkan mayat wanita yang ditemukan dalam kereta jenis Perodua Viva selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 163 LPT pada 18 Julai lalu adalah mangsa bunuh.

Susulan itu, polis menahan suspek tiga hari selepas kejadian tersebut.

Berdasarkan laporan, pemeriksaan forensik polis dengan bantuan pakar patologi dari Hospital Jengka mendapati mayat mangsa tidak mempunyai kesan cedera dan hanya terdapat kesan lebam pada bahagian tangan serta dipercayai lemas akibat dijerut pada bahagian leher.

Siasatan polis mendapati suspek mendakwa mengenali mangsa sejak tiga tahun lalu, namun berdasarkan maklumat diterima daripada keluarga mangsa, mereka tidak mengenali suspek dan memaklumkan mangsa sudah bertunang dengan seorang lelaki berasal dari Perak.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire