jeudi 30 juillet 2015

Gempa: RM16j baik pulih sekolah rosak


Masidi Manjun (belakang, tengah) dan Jame Alip (belakang, dua dari kiri) bersama anak-anak yatim sempena sambutan Aidilfitri Bersama Warga Pendidik Sabah di Kota Kinabalu, semalam. utusan/Azrul Edham Mohd Aminuddin

KOTA KINABALU 30 Julai - Jabatan Pendidikan negeri mengesahkan sudah menerima separuh daripada peruntukan yang dijanjikan oleh Kemterian Pendidikan bagi melakukan kerja baik pulih sekolah yang mengalami kerosakan akibat kejadian gempa bumi yang melanda Sabah baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Jame Alip berkata, peruntukan yang dijanjikan oleh kementerian telah diterima dan proses pengagihan dana tersebut kepada sekolah-sekolah yang terlibat juga telah dilakukan.

Katanya, proses pembaikan dan pembinaan kelas sementara waktu juga telah berlangsung demi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terganggu.

“Jumlah peruntukan yang diterima oleh Jabatan Pendidikan Negeri adalah sebanyak RM16 juta. Peruntukan ini digunakan untuk penyelenggaraan dan membaik pulih lebih 80 buah sekolah yang terjejas akibat bencana gempa bumi.

“Malah peruntukan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan itu turut digunakan dalam proses membaik pulih kerosakan kecil di sekolah-sekolah terlibat bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terganggu,” katanya yang ditemui dalam Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri bersama Warga Pendidik negeri Sabah sempena sambutan Aidilfitri, di sini hari ini.

Hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Exco Pendidikan dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Maimunah Suhaibul.

Mengulas lanjut, Jame berkata, semua sekolah yang menerima musibah daripada kejadian bencana gempa bumi tidak berhadapan gangguan pembelajaran, sebaliknya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

Malah menurutnya, fokus pelajar juga tidak terganggu dengan kejadian bencana tersebut, sebaliknya terus memberi tumpuan terhadap proses pembelajaran yang berlangsung.

Tambahnya, setiap guru besar sekolah rendah di daerah yang dilanda gempa bumi diminta memberi keutamaan terhadap tumpuan murid yang akan berhadapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

“Kira-kira sebulan lagi, pelajar Tahun Enam akan berhadapan UPSR. Sehubungan itu, saya sentiasa mengingatkan agar guru besar memberi keutamaan kepada golongan pelajar ini terutama dalam persiapan menghadapi ujian tersebut,” katanya.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire