Hasmah Daud
BESUT 31 Julai - Seorang wanita warga emas maut manakala pengasuh warga Indonesia cedera parah apabila kereta yang dinaiki dirempuh sebuah trak tentera dalam kemalangan di Jalan Terengganu-Kelantan di Kampung Padang Luas dekat sini hari ini.
Hasmah Daud, 72, dari Kampung Tembila Hilir, Kampung Raja dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan paru-paru.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Khaled Che Lah berkata, pengasuh berusia 33 tahun yang hanya dikenali sebagai Magdalena pula cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.
Trak tentera itu pula dipandu oleh Mohd. Noor Satiman Ali, 31, bersama rakan sekerjanya, Rumzi Abd. Rahman, 44, dan mereka bertugas di Cawangan Sumber Malaysia, Markas Tentera Darat di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.
Menurut Khaled, Mohd. Noor, 31, dan Rumzi, 44, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam nahas itu.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi di jalan lurus dua lorong di Kampung Padang Luas, berdekatan Masjid Padang Luas sewaktu kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Kelantan ke Terengganu,” katanya di sini.
Jelasnya, sebelum kemalangan, kereta Perodua Kelisa yang dipandu Hasmah pada mulanya bergerak di bahu jalan sebelum secara tiba-tiba masuk ke kanan jalan untuk membuat pusingan U di situ.
Pada masa sama, kata Khaled, muncul sebuah trak tentera dan kenderaan itu gagal mengelak sebelum merempuh sebelah kanan kereta berkenaan.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire