Heiko Maas
BERLIN 29 Ogos Laman sosial Facebook perlu mematuhi undang-undang Jerman yang melarang penyebaran sentimen perkauman, meskipun perkara itu dibenarkan di Amerika Syarikat (AS) di bawah kebebasan bersuara.
Menteri Kehakiman Jerman, Heiko Maas berkata, Facebook tidak banyak bertindak bagi mencegah pos yang berunsur perkauman dan kebencian dalam platform media sosialnya dan Jerman tidak akan bertolak ansur kepada ungkapan seperti itu dan menjangkakan syarikat berpangkalan di AS tersebut akan lebih berhati-hati.
Satu perkara yang jelas, sekiranya Facebook mahu beroperasi di Jerman, maka mereka perlu patuh dengan undang-undang Jerman.
Tidak timbul soal kami, atas sebab sejarah, memberi tafsiran yang ketat berhubung kebebasan bersuara berbanding di Amerika.
Menafikan holocaust dan menghasut kebencian kaum adalah satu jenayah di Jerman dan perkara itu tidak terkecuali, sekiranya dimuat naik di Facebook atau diucapkan di hadapan orang awam di dataran pasar raya, tegas Maas.
Maas menyerahkan sepucuk surat kepada pengarah dasar awam Facebook, Richard Allan di Dublin dan berkata, beliau menerima banyak aduan daripada pengguna yang menyuarakan bantahan mereka terhadap status dan pos yang berunsur perkauman diabaikan oleh syarikat berkenaan.
Beliau mencadangkan satu pertemuan diadakan dengan Facebook di Berlin pada 14 September ini.
Maas merupakan pemimpin Parti Social Demokrat (SPD), parti yang berdepan kebanjiran email perkauman, panggilan telefon dan ancaman bom selepas pengerusinya, Sigmar Gabriel mengecam 'kumpulan penunjuk perasaan antipelarian yang mendalangi keganasan antipelarian di timur bandar Heidenau.
Bandar berhampiran Dresden itu menjadi lokasi pertempuran ganas pada minggu lalu antara militan berhaluan kanan yang membantah ketibaan kira-kira 250 pelarian di sebuah pusat perlingdungan tempatan yang membaling polis dengan botol dan batu.
Internet bukanlah tempat undang-undang diabaikan dengan komen berunsur jenayah boleh disebarkan sewenang-wenangnya, kata Maas, sambil menambah kata, beliau mendapati agak mengejutkan bahawa ada orang menggunakan Facebook untuk menyebarkan kebencian terhadap pelarian, sedangkan rakyat Jerman sedang membantu mereka.
'Tidak ada ruang untuk bertolak ansur terhadap pengguna Internet yang menyebarkan propaganda perkauman. Perkara itu terutamanya melibatkan sejarah Jerman, katanya.
Jurucakap Facebook berkata, mereka memandang serius kenyataan Maas dan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan menteri kehakiman tersebut. REUTERS
- See more at: http://ift.tt/1F87LX3
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire