Melaka: Selepas menjamah tiga bungkus nasi lemak dan segelas Milo ais, dia meminta mi goreng pula. Mahu atau tidak saya terpaksa layan selera anak kerana jika dibantah Hairani akan merajuk atau memberontak dengan menghantuk kepala ke dinding, kata Ramlah Abd Manan yang berdepan dilema mengenai masalah obesiti anaknya.
Ramlah, 58, berkata, anaknya, Hairani Malik, 20, yang menghidap sindrom Down pernah menghantuk kepala ke dinding hingga berdarah menyebabkan dia terpaksa menurut saja kehendaknya.
Ibu tunggal itu berkata, sejak kecil, selera makan anaknya sukar dikawal dan terakhir ditimbang pada 2014, berat badan lelaki itu mencecah lebih 100 kilogram (kg).
Kini berat Hairani dipercayai sudah melebihi dari 100kg kerana dia sentiasa berselera menjamah makanan tanpa mengira waktu dan akan mengamuk jika permintaannya itu dibantah.
Saya khuatir berat badan Hairani akan terus naik kerana kini dia sudah dikategorikan sebagai obes dan menghadapi kesukaran bergerak selain pakaian lama tidak boleh dipakai, katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu 10, Kampung Paya Rumput, Tangga Batu, di sini, semalam.
Katanya, sebelum ini arwah suaminya menguruskan semua aktiviti harian anaknya itu termasuk menghantar Hairani ke Sekolah Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Seri Tanjung, sekali gus membolehkan dia mengetahui berat semasa anaknya itu.
Menurutnya, selepas suaminya meninggal dunia Ogos tahun lalu, dia bertanggungjawab menguruskan semua keperluan Hairani berikutan empat abang dan kakak lelaki itu kini tinggal berasingan.
Bagi saya dan arwah suami, Hairani anak istimewa, sejak berusia dua tahun, kami melayan segala kemahuannya. Sebelum ini dia amat rapat dengan ayahnya, namun selepas arwah tiada, dia sering termenung, katanya.
Sementara itu, abang lelaki itu, Hairi Malik , 28, berkata, antara tabiat adiknya yang sukar dikawal, selain kuat makan sering mengoyak pakaian yang dipakai sama ada seluar atau baju.
Menurutnya, ibu terpaksa menjahit semula pakaian yang rosak atau menggantikannya.
Ibu sangat penyabar dan hanya dia mampu melayan gelagat Hairani. Bagaimanapun, saya tetap melawat mereka walaupun sibuk bekerja sebagai pemandu lori, katanya.
sumber:http://ift.tt/1Ul3WVh
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire