MOTOSIKAL berkuasa tinggi milik Abdul Muni yang baru dibeli dua bulan lalu remuk dalam nahas.
Butterworth: Seorang pegawai bomba terbunuh apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya merempuh Perodua Myvi yang dipercayai keluar dari simpang secara mengejut di Jalan Teluk Air Tawar, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdul Muni Abdul Aziz, 36, yang bertugas di Bahagian Keselamatan dan Kesedaran, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri di Batu Kawan, Nibong Tebal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Penaga, Kepala Batas dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, mangsa baru membeli motosikal Kawasaki Z750 itu, dua bulan lalu dan mempunyai beberapa rakan yang turut berkongsi minat sama.
Saksi dikenali sebagai Azmi berkata, arwah dalam perjalanan ke Kepala Batas sebelum kereta dipandu wanita berusia 50-an secara tiba-tiba keluar dari simpang kiri menyebabkan dia gagal mengelak lalu merempuh bahagian kanan kenderaan itu dan tercampak di atas jalan.
Mangsa parah di badan manakala motosikalnya remuk teruk di depan, namun pemandu kereta itu tidak cedera, katanya.
Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, Abdul Muni keluar dari pejabat jam 5 petang dan tidak menunjukkan perubahan sebelum kejadian itu.
Abdul Muni seorang yang ceria, mudah didekati serta sangat berminat dengan motosikal berkuasa tinggi dan membeli motosikal itu dua bulan lalu untuk berulang alik ke tempat kerja.
Saya sedih dengan kematiannya, apatah lagi bila mengenangkan tiga anaknya yang masih kecil, katanya.
Isteri mangsa, Zanariah Abd Aziz, 30-an, ketika ditemui di Hospital Kepala Batas (HKB) enggan mengulas lanjut berikutan masih bersedih.
- See more at: http://ift.tt/1LKjVwQ
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire