dimanche 30 août 2015

Letih hadap sesak setiap hari



Kesesakan di Lebuh Maccalum menghantui penduduk sejak sekian lama.
GEORGETOWN - Penduduk di sekitar Lebuh Maccalum di sini, tertekan apabila terpaksa berhadapan dengan masalah kesesakan trafik yang berlaku setiap hari sejak sekian lama.

Dakwa mereka, akibat kegagalan kerajaan negeri menguruskan sistem aliran lalu lintas dengan baik di kawasan berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan serius pada waktu pagi dan petang selain menyebabkan banyak kemalangan termasuk yang mengorbankan nyawa.

Penduduk, Koay Kok Choy, 68, berkata, sejak pembinaan Jelutong Ekspressway yang kini dikenali sebagai Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, kawasan berkenaan semakin sesak berikutan ia menghubungkan laluan utama di kawasan itu.

Menurutnya, penduduk di kawasan berkenaan sudah letih berhadapan dengan kesesakan setiap hari dan pernah mengadu masalah berkenaan kepada pemimpin setempat namun, ia hanya dipandang sepi.

“Masalah ini bukan perkara baru yang kami hadapi namun, tiada jalan penyelesaian yang dapat dilakukan oleh pihak berwajib sedangkan aduan sudah banyak kali kami lakukan.

“Sampai bila kami nak hidup dalam keadaan begini, terpaksa keluar awal untuk mengelakkan kesesakan di sebelah pagi namun pada sebelah petang kesesakan ini tak dapat dielakkan, dan disebabkan masalah ini ia sedikit menjejaskan kualiti hidup kami di sini," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Kok Choy bersama kira-kira 50 penduduk Lebuh Maccalum berkumpul untuk bertemu dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya bagi mengadu masalah yang dihadapi mereka.

Seorang lagi penduduk, Kok Teng Lai, 50, berkata, penduduk mengharapkan kerajaan negeri membina satu laluan bertingkat (fly over) di persimpangan Jalan Lebuh Maccalum dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu supaya dapat melancarkan lagi aliran trafik.

Teng Lai yang juga Pengerusi Penduduk Taman Seri Saujana di sini berkata, kerajaan negeri mungkin tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membina laluan bertingkat berkenaan dan penduduk amat mengharapkan kerajaan persekutuan dapat melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah penduduk.

“Walaupun beribu kali masalah ini dibawa kepada kerajaan negeri namun, mereka tetap gagal melakukan sesuatu untuk memulihkan keadaan mungkin disebabkan kekurangan dana.
“Kami amat mengharapkan kerajaan persekutuan dapat membantu kami menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu, Hilmi berkata, pihaknya akan merujuk masalah yang dihadapi penduduk kawasan berkenaan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan susulan.

Katanya, pihaknya juga meminta JKR untuk melakukan kajian kesesuaian untuk membina laluan bertingkat di kawasan itu bagi menyelesaikan masalah kesesakan.

“Jalan yang terlibat dengan isu ini adalah di bawah kerajaan negeri dan sepatutnya kerajaan negeri perlu mencari jalan penyelesaian.

“Bagaimanapun, saya akan minta pandangan daripada JKR untuk mencari mekanisme terbaik dalam mengurangkan masalah aliran trafik di sini,” katanya.



sumber:http://ift.tt/1UlT0a6


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire