lundi 31 août 2015

Nama Malaysia Airlines (MAS) dikekalkan



KUALA LUMPUR 31 Ogos - Jenama Malaysia Airlines atau singkatannya MAS tetap dikekalkan, setelah syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd. (MAB) menerima Sijil Operator Udara (AOC) yang mengambil alih peranan daripada Malaysian Airline System Bhd. sebagai syarikat penerbangan negara, mulai esok.

Utusan Malaysia difahamkan, jenama MAS akan dikekalkan buat masa ini sehingga penjenamaan semula dilancarkan. Namun difahamkan juga sebarang tarikh untuk penjenamaan semula masih belum dapat dipastikan.

Pada Jumaat lalu, MAB telah menerima AOC daripada Jabatan Penerbangan Awam yang membolehkan MAB memulakan operasi dengan jenama MAS bermula 1 September 2015.

Kelayakan penerimaan sijil itu memerlukan MAB melalui beberapa aktiviti audit termasuklah operasi penerbangan, penyelenggaraan pesawat serta pematuhan peraturan

Bermula esok, MAB akan dikepalai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Christoph Mueller yang telah dilantik untuk menyertai MAS sejak Mei lalu.

Pada 1 Jun lalu, Mueller membayangkan bahawa persepsi buruk terhadap jenama Malaysia Airlines oleh pasaran Eropah, China dan Australia menjadi antara faktor penilaian yang akan dibuat oleh peringkat pengurusan MAS untuk mencari nama baharu bagi menggantikan nama Malaysia Airlines.

Katanya, meskipun jenama dan logo MAS menjadi kebanggaan rakyat tempatan, namun persepsi buruk oleh pasaran-pasaran penting antarabangsa tidak boleh dipulihkan lagi.

Katanya, hal itu boleh dibuktikan apabila promosi penurunan harga tiket tidak mendapat sambutan. Malah katanya, kempen tempat duduk percuma yang dilaksanakan di beberapa pasaran antarabangsa tertentu gagal dipenuhkan.

“MAS mencatatkan kekerapan kemalangan yang tinggi dalam tempoh tiga tahun yang terakhir ini. Kemalangan pesawat MAS MH370 dan MH17 sering menjadi topik yang dibangkitkan di dalam media-media sosial, sekali gus akan secara berpanjangan menanamkan persepsi buruk terhadap MAS,” katanya semasa sidang akhbar pertamanya dengan pemberita-pemberita tempatan pada Jun lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, Malaysia masih perlu mempunyai syarikat penerbangan kebangsaan yang sendiri bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara. Namun model perniagaannya perlu dikendalikan sebagai sebuah entiti komersial, katanya.


- See more at: http://ift.tt/1MYERiD


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire