KUALA TERENGGANU - Pengambilan makanan yang mengandungi pewarna tambahan dengan dos yang banyak pada setiap hari berpotensi mengundang penyakit kanser bagi lelaki atau wanita dewasa.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hayati Mohd Yusof berkata, walaupun risiko itu berasaskan kajian ke atas haiwan disebabkan timbul isu etika jika dilakukan kepada manusia, kesan pengambilan makanan
dengan pewarna tambahan yang banyak berupaya mendatangkan keburukan kepada individu terbabit.
Sebagaimana semua jenis potensi risiko, jika ia diamalkan oleh ibu hamil, ia juga akan memberikan risiko kepada anak yang bakal dilahirkan, namun, bergantung pada dos pewarna yang terkandung dalam makanan dan tolerasi fisiologi tubuh ibu tersebut, katanya.
Beliau berkata, penggunaan pewarna tambahan dalam makanan telah diamalkan sejak sekian lama, walaupun begitu, terdapat banyak kemungkinan dan faktor bagi setiap kajian yang dijalankan untuk mendapat sesuatu keputusan.
Makanan komersial semuanya berwarna-warni, jadi kita amat sukar untuk menentukan dos toksik yang terkandung dalam makanan itu, sebab itulah ia bergantung kepada individu mengenai tahap keselamatannya.
Kemungkinan penyakit kanser juga masih di peringkat kajian lagi memandangkan proses kajian tidak memadai dengan hanya satu bentuk kajian, perlu ada satu analisis kompilasi beberapa kajian besar yang di kumpul bagi mendapat satu keputusan yang benar-benar jelas, katanya.
Hayati berkata, sebenarnya, pendedahan terhadap bahan kimia secara langsung memberi kesan kepada kesihatan, bukan hanya berpunca daripada pewarna makanan.
Kalau di negara luar, terdapat sesetengah negara yang memang tidak menggalakkan penggunaan pewarna di dalam makanan contohnya di Sweden, yang suatu ketika dahulu menolak terus penggunaan pewarna bagi makanan komersial di negara itu.
Sebenarnya, untuk menyedarkan masyarakat mengenai kesan pengambilan pewarna dalam makanan dan minuman ini mengambil masa berpuluh-puluh tahun. Hasilnya bergantung kepada peranan ibu bapa dalam mencorakkan gaya pemakanan anak-anak mereka, katanya.
Beliau berkata, di Malaysia, kesedaran terhadap bahaya penggunaan pewarna dalam makanan masih kurang walaupun ia boleh menggugat pembesaran anak-anak secara sihat.
Kalau di Eropah, mereka banyak mengadakan kempen kesedaran sehingga ramai ibu bapa dan masyarakat yang peka mengenai perkara itu. Ini kerana suatu ketika, pewarna makanan pernah diwartakan berperanan menyumbang kepada hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak.
Jadi, dalam perkara ini, kita semua disarankan mengehadkan pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi pewarna tambahan ini, di samping didikan terhadap masyarakat mengenai perkara ini sebenarnya dilihat amat perlu dan penting bagi melahirkan
masyarakat yang sihat dan mengamalkan gaya pemakanan yang sihat, katanya.
Menurutnya, ibu bapa dan pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dalam perkara ini.
Makanan ringan juga mengandungi bahan pewarna yang tinggi, jadi, kerjasama ibu bapa dan guru dalam mendidik anak-anak di bangku sekolah lagi dilihat amat perlu, malah pendekatan kedua-dua pihak ini amat penting bagi melahirkan generasi sihat dan cemerlang.
Pelbagai bentuk kempen dan penerangan mengenai perkara ini boleh dilakukan di semua peringkat terutama di peringkat sekolah, katanya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire