ABDUL FATTAH ABDULLAH
KUALA LUMPUR 31 Mei – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menolak dakwaan pihaknya mengenakan cukai berganda kepada ahli-ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, isu tersebut hanyalah salah faham terhadap cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan bayaran perkhidmatan yang dikenakan.
Katanya, cukai GST adalah cukai yang wajib dikenakan oleh kerajaan sebanyak enam peratus kepada setiap ahli NUTP, manakala bayaran perkhidmatan sebanyak 0.6 peratus adalah caj perkhidmatan untuk setiap potongan yuran melalui potongan gaji yang diuruskan pihak Angkasa.
“Bayaran tersebut bukan satu potongan cukai tetapi caj bayaran perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak Angkasa terhadap semua ahli-ahli kesatuan yang menggunakan perkhidmatan Angkasa termasuk NUTP,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung NUTP, Lim Yim Pheng dalam Mingguan Malaysia yang kesal apabila kesatuan itu dikenakan cukai berganda oleh pihak Angkasa dan membebankan lebih 100,000 ahli-ahlinya.
Jelas Yim Pheng, selain kadar bayaran GST sebanyak enam peratus, ahli-ahli kesatuan tersebut turut terpaksa membayar caj perkhidmatan yang sebelum ini dikenakan terhadap mereka.
Dalam pada itu, jelas Abdul Fattah, pihak Angkasa telah mewujudkan sebuah komuniti khas untuk mengadakan perundingan dengan pihak NUTP dalam masa terdekat bagi memperjelas kekeliruan isu yang dibangkitkan.
“Pihak kami sedar isu potongan cukai GST melalui potongan gaji banyak menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan-pelanggan kami yang terdiri daripada kelab, persatuan, koperasi, syarikat insurans dan institusi kewangan sokongan kerajaan.
“Malah, ahli tertinggi Angkasa akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik mengenai isu pengenaan cukai GST melalui potongan gaji,” katanya.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire