samedi 30 mai 2015

Pembangunan Lembah Chuping, Hab Logistik dilulus


NAJIB Tun Razak diiringi Azlan Man dan Mohd. Shafie Apdal beramah mesra dan bersalaman dengan pengunjung pada majlis Penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) Peringkat Kebangsaan di Kampung Kurong Tengar, Kangar, Perlis, semalam. BERNAMA

KANGAR 30 Mei – Kerajaan Pusat meluluskan pembangunan Lembah Chuping dan hab logistik di Padang Besar dekat sini, satu daripada empat pusat pertumbuhan yang dirancang kerajaan negeri untuk menjana ekonomi Perlis, bagi mencapai status negeri industri dan berpendapatan tinggi pada 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya bagaimanapun akan meneliti dan memperhalusi peruntukan berjumlah RM568 juta yang dipohon kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan Lembah Chuping, manakala hab logistik iaitu pembinaan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bernilai RM200 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RKM-11).

"Saya telah mendengar taklimat oleh kerajaan negeri yang berhasrat untuk melaksanakan projek strategik untuk menjana ekonomi Perlis. Ini dilakukan bagi memastikan Perlis membangun," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) Peringkat Kebangsaan di Kampung Kurong Tengar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, beliau telah meluluskan pembinaan sebuah Hospital Padang Besar bernilai RM81 juta bagi keperluan penduduk khususnya di kawasan berkenaan.

Terdahulu, ketika berucap dalam majlis Jamuan Ramah Mesra Bersama Rakyat di Kangar, Najib berkata, Perlis akan terus menjadi kawasan kuat untuk Barisan Nasional (BN) sekiranya dua 'kepala' di negeri itu bersatu-padu.

Kata beliau, dua 'kepala' iaitu Azlan sebagai pentadbir kerajaan negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Saya sebagai Perdana Menteri akan kuat sekiranya mendapat sokongan daripada semua ahli parti. Perlis pula akan terus menjadi kawasan kuat BN jika dua 'kepala' (Azlan dan Shahidan) bersatu-padu," katanya.

Pada majlis tersebut, Azlan dalam ucapannya menyatakan sokongan kerajaan negeri secara terbuka terhadap kepemimpinan Najib walau apa jua cabaran dihadapi Perdana Menteri itu.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire