Orang ramai beratur sepanjang 50 meter untuk membeli tiket masuk ke Floria Diraja Putrajaya bermula dari pukul 8 pagi walaupun kaunter tiket dibuka pukul 9 pagi di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 31 Mei – Apabila berkunjung ke Floria Diraja Putrajaya 2015, pastinya tidak lengkap sekiranya tidak melawat Taman Persahabatan China-Malaysia yang menjadi bualan dan tumpuan orang ramai di Putrajaya ekoran keunikannya.
Berkonsepkan taman kekal di tapak Floria Diraja Putrajaya di Presint 4, Taman Persahabatan China-Malaysia seluas 0.24 hektar yang bercirikan gaya Lingnam itu dibina sebagai tanda hubungan yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.
Dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta, pastinya keunikan dan kecantikan Taman Persahabatan China-Malaysia itu berjaya menarik ribuan pengunjung sepanjang berlangsungnya Floria Diraja Putrajaya 2015 yang bermula semalam hingga 7 Jun ini.
Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati pengunjung Floria Diraja Putrajaya 2015 tidak putus-putus mengunjungi Taman Persahabatan China-Malaysia, malah mereka juga tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan di taman tersebut.
Seorang pengunjung, Noratikah Abdul Hadi, 26, berkata, keunikan Taman Persahabatan China-Malaysia amat menyerlah dan berada di taman tersebut seolah-olah berada di China kerana semua hiasan melambangkan keindahan yang terdapat di negara itu.
Katanya, Taman Persahabatan China-Malaysia adalah taman pertama yang dilawatinya selepas memasuki tapak penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2015 kerana keunikannya yang tersendiri malah kedudukannya juga strategik kerana bersebelahan tasik Putrajaya.
“Saya tahu mengenai Taman Persahabatan China-Malaysia ini melalui laman sosial, saya lihat banyak gambar menarik diambil di sini, jadi kesempatan mengunjungi Floria Diraja Putrajaya 2015 tidak akan saya lepaskan untuk melawat taman ini.
“Bayaran tiket masuk ke Floria Diraja Putrajaya 2015 juga amat berpatutan dan bagi saya bayaran itu berbaloi dengan keindahan bunga-bungaan yang dipamerkan, jadi tidak rugi bagi saya menghabiskan masa terluang di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di perkarangan Taman Persahabatan China-Malaysia di sini hari ini.
Selain itu seorang lagi pengunjung, Rabiatul Adawiati Mohd. Ghazali, 27, berkata, hiasan dan bunga-bungaan yang menghiasi Taman Persahabatan China-Malaysia membuatkan ramai pengunjung terpesona dan meluangkan masa yang agak lama di taman tersebut.
Katanya, pengunjung berpusu-pusu datang ke Taman Persahabatan China-Malaysia semata-mata untuk bergambar, keunikannya terserlah dan rata-rata pengunjung yang datang ke taman itu teruja dengan apa yang dilihat kerana seperti berada di China.
“Saya juga mahu mengesyorkan kepada mereka yang datang ke Floria Diraja Putrajaya 2015 agar mengunjungi Taman Persahabatan China-Malaysia ini, saya yakin keunikan hiasan bercirikan Lingnam ini akan menarik perhatian anda.
“Saya difahamkan Taman Persahabatan China-Malaysia ini adalah tapak kekal, jadi selepas penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2015 ini, saya akan kembali lagi ke sini untuk bersantai bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Koh, 60, berkata, elemen-elemen unik yang mempunyai hubung kait dengan kehidupan masyarakat Cina membuatkan dia tertarik untuk mengunjungi taman tersebut.
“Bagi saya pembinaan taman ini amat unik, dengan bercirikan Lingnam kita dapat melihat pelbagai keindahan, binaannya juga amat menarik selain turut dilengkapi dengan kolam di tengah-tengah taman,” katanya.
Dalam pada itu, antara tarikan lain yang terdapat di Floria Diraja Putrajaya 2015 ialah Taman Lili, Taman Diraja, Taman Pereka Bentuk, Tea Party Garden, Taman Inovasi, Taman Kucing, Taman Kanak-kanak.
Turut disediakan ialah Bazar Tanaman dan Pasar Hortikultur yang menjual segala keperluan perkebunan dan tumbuh-tumbuhan seperti pokok hiasan, pokok ulam-ulaman, pokok buah-buahan, pokok bunga berpasu, perabot taman, peralatan taman, produk bioteknologi dan perkhidmatan landskap.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire