liow tiong lai
JASIN 31 Mei - Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kini mengkaji semula peraturan-peraturan berkaitan unmanned aerial vehicle (UAV) termasuk drone bagi memastikan tahap keselamatan industri penerbangan negara.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian itu termasuk menentukan keperluan untuk mendaftarkan penggunaan drone oleh individu yang kini didapati semakin bertambah.
Menurutnya, pendaftaran drone bertujuan menjamin tahap keselamatan industri penerbangan udara negara kerana penggunaan drone yang tidak terkawal boleh menjejaskan keselamatan terutamanya kapal terbang, helikopter dan pesawat ringan.
“Oleh itu, saya sudah mengarahkan DCA mengkaji secara menyeluruh berkaitan pendaftaran semua drone selain perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak berkuasa sebelum boleh diterbangkan.
“Ini penting kerana tanpa langkah sedemikian, ia akan menimbulkan masalah di sesetengah kawasan terutamanya berhampiran lapangan terbang seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Lapangan Terbang Subang Skypark di Selangor,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai 2015 yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Lapangan Terbang Aerodrome Sungai Rambai, di sini hari ini.
Yang hadir sama Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Lim Ban Hong.
Jelas Tiong Lai, perkara itu juga perlu dikaji semula agar pengguna drone lebih berwaspada serta tidak menerbangkan drone mereka sesuka hati tanpa kelulusan seterusnya mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengkaji sama ada perlu bagi setiap pemilik drone mempunyai lesen untuk menerbangkan pesawat kawalan milik mereka.
“Beberapa siri penerbangan dan dialog telah diadakan dengan syarikat kumpulan dan juga individu untuk menerangkan mengenai peraturan tersebut sebelum ini dan ia akan diteruskan setelah DCA bersedia dengan draf terakhir peraturan UAV termasuk drone,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, kementerian turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta kepada kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi kemudahan di aerodorme Sungai Rambai bagi membolehkan penerbangan pada waktu malam.
“Peruntukan ini diharap dapat diguna sebaik mungkin bagi membina kemudahan lampu landasan agar ia boleh digunakan untuk latihan penerbangan pesawat kecil serta helikopter seterusnya memastikan industri penerbangan negara terus dipertingkatkan,” tambahnya.
Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai 2015 yang bermula pada 28 Mei lalu hingga hari ini melibatkan penyertaan 184 buah pesawat persendirian dari dalam dan luar negara termasuk Rusia, Australia, Hungary, Singapura, Indonesia dan Thailand.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire