dimanche 31 mai 2015

KDCA: Kerajaan Sabah pertimbang sedia tanah


Musa Aman

PENAMPANG - Kerajaan negeri Sabah bersetuju menimbangkan untuk memperuntukkan tanah bagi pembinaan kompleks baharu Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Murut (KDCA), kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata berikutan peningkatan jumlah pengunjung ke Pesta Kaamatan atau pesta menuai yang diadakan setiap tahun di kompleks KDCA di sini, sudah tiba masanya untuk mencari kawasan yang lebih sesuai dan luas bagi acara itu yang disambut oleh rakyat sabah.

"Ini adalah janji saya untuk memberi pertimbangan yang sewajarnya (bagi peruntukan tanah untuk KDCA) kerana kami berpendapat ini adalah untuk manfaat penduduk Sabah.

"Selain mengukuhkan perpaduan, ia juga boleh menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan acara sukan tradisional dan pameran pertanian Kadazan Dusun dan Murut bersempena Pesta Kaamatan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Musa berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf dan kerja pembaikan di kompleks KDCA.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, kawasan yang lebih luas membolehkan KDCA mengembangkan aktiviti tahunan dan memenuhi lebih banyak permintaan etnik, terutama semasa musim perayaan itu yang berlangsung setiap Mei.

Pairin, yang juga Pengerusi Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri berkata, kompleks KDCA sekarang di tapak seluas 1.62 hektar dan Dewan Hongkod Koisaan boleh menampung kira-kira 3,000 orang pada satu-satu masa.

Pengerusi Jawatankuasa Utama Pelaksanaan dan Penyelarasan Perayaan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata KDCA memohon kawasan dua kali lebih luas daripada lokasi KDCA sekarang bagi menampung jumlah pengunjung yang meningkat.

"Tahun lepas, lebih 60,000 pengunjung menghadiri perayaan selama dua hari (30 dan 31 Mei).

"Kawasan ini (sekarang) tidak lagi sesuai. Penduduk di kawasan berdekatan mengadu kerana jumlah pengunjung terus meningkat," kata Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air persekutuan. - Bernama


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire