Papan tanda di kawasan ada lembu di Titi Tinggi Batu 20 Padang Besar
< 1 / 1 >
PADANG BESAR - Kejadian kemalangan melibatkan haiwan ternakan di jalan raya merupakan situasi yang biasa bagi penduduk di Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Belukar Lenga, **** Wing, berkata, dia mempunyai pengalaman menyelesaikan masalah seperti itu.
Menurutnya, kampung ini merupakan antara laluan utama ke sempadan, jadi kemalangan selalunya berlaku pada sebelah malam kerana kebanyakan pemilik haiwan ternakan ini tidak menambat lembu mereka.
Kira-kira lima tahun lalu, berlaku kejadian kemalangan melibatkan kereta dengan lembu pada sebelah malam. Akibatnya anak muda yang memandu kereta bersama rakan-rakannya menyembunyikan lembu terbabit berhampiran bukit yang tidak jauh dari kampung ini.
Pemilik lembu kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangan lembunya dan apabila ditemui berlaku pergaduhan kecil. Pemuda itu meminta ganti rugi kerana keretanya rosak, katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan penduduk di kampung itu tidak lagi membiarkan lembu mereka berkeliaran.
Seorang penduduk, Hasmaiza Bakar, 40, berkata, dia pernah mengalami detik yang mendebarkan apabila melanggar lembu dengan kereta yang disewanya.
Menurutnya, kejadian berlaku tujuh tahun lalu selepas dia terpaksa melakukan tugasan pada sebelah malam di sekitar Kubang Tiga, di sini.
Saya pergi dengan seorang rakan dan kami sedang berbual-bual mengenai kejadian kemalangan melibatkan lembu di kawasan itu. Beberapa ketika lepas bersembang, saya terus ternampak lembu di hadapan kereta dan saya gagal mengelak daripada melanggarnya.
Akibatnya kereta sewa rosak. Orang kampung bantu kami dan saya sempat lihat lembu itu bangun dan berjalan semula, katanya.
Sementara itu, Exco Pengangkutan, Datuk Sabry Ahmad berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Veterinar bagi menangkap haiwan liar yang berkeliaran di atas jalan.
Katanya, sebelum menangkap haiwan itu, pihaknya akan mengenal pasti pemilik dan sekiranya tidak bertuan, barulah mereka akan menangkap haiwan terbabit.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire