samedi 30 mai 2015

Peniaga belasah penguat kuasa

GEORGETOWN - Berang diarah mengalihkan barang perniagaan dari petak tempat letak kereta, seorang lelaki memukul penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kejadian di Jalan Sungai Pinang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, sepasukan penguat kuasa MBPP yang sedang menjalankan operasi peniaga tanpa lesen dan kebersihan telah menegur tindakan peniaga berkenaan yang menjual air soya di petak tempat letak kereta sehingga menghalang laluan berkenaan.

Menurut sumber, selepas pasukan penguat kuasa MBPP beredar dari gerai berkenaan datang seorang lelaki memaki hamun pasukan penguat kuasa berkenaan sebelum dia memukul dan menendang salah seorang penguat kuasa.

“Lelaki berkenaan dipercayai suami kepada peniaga air soya itu dan dia mempertikaikan tindakan penguat kuasa berkenaan yang dikatakan biadab dengan isterinya.

“Lelaki berkenaan bertindak menolak, memukul dan menendang salah seorang penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Akibat kejadian itu, penguat kuasa berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan ringan termasuk kesan calar pada tangan, badan dan dada mangsa selain bajunya terkoyak.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan penguat kuasa MBPP yang tidak membenarkan dia berniaga di tapak berkenaan.

Mior Farid berkata, penguat kuasa MBPP sebelum ini juga telah memberikan notis untuk mengosongkan tapak berkenaan pada 18 Mei lalu namun peniaga berkenaan tidak berbuat demikian.

“Penguat kuasa yang dipukul telah di bawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan dan polis kini sedang mengesan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan," katanya.



sumber:http://ift.tt/1JfZvZB


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire