WAKIL Malaysia Book Of Records, Nurul Huda Zakaria (belakang empat dari kiri) menyampaikan sijil MBOR kepada Pengarah Program, Mohd. Syahlizam Mohyi (enam dari kiri) sempena Karnival Serlahkan Kehebatan 4.0 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Nusajaya, Johor, semalam. utusan/Raja Jaafar Ali
NUSAJAYA 31 Mei – Karnival Serlahkan Kehebatan 4.0 mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan sebanyak 6,957 kereta jenama nasional di Dataran Mahkota, Kota Iskandar di sini hari ini.
Lebih manis, karnival anjuran Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai himpunan kereta nasional terbesar di Malaysia.
Ketua Penerangan dan Tindakan Gabung, Abdullah Md. Yusof berkata, walaupun tidak mencapai sasaran iaitu menghimpun kira-kira 10,000 kereta, namun pihaknya tetap berbangga dengan pencapaian tersebut.
“Kami berasa bangga kerana penganjuran karnival ini berjaya mencatatkan satu lagi rekod baharu Malaysia selepas mencatatkan perhimpunan motosikal terbesar semalam apabila mencapai penyertaan 23,208 motosikal.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kesemua 175 kelab kereta yang mengambil bahagian pada karnival hari ini yang menyumbangkan kepada catatan sejarah himpunan kereta nasional terbesar di Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Majlis penyerahan sijil MBOR itu disempurnakan wakil MBOR, Nurul Huda Zakaria kepada Pengarah program berkenaan, Mohd. Syahlizam Mohyi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gabung.
Tambah Abdullah, dia tidak menyangka persiapan yang diambil sehingga tujuh bulan membuahkan hasil apabila karnival yang dianjurkan buat kali keempat tersebut mendapat sambutan yang baik termasuk penyertaan dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
“Melihatkan kejayaan yang diraih hari ini, kami berharap penganjuran karnival selama tiga hari ini dapat dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negeri kerana mampu menarik kehadiran pelancong ke Johor.
“Kami juga merancang untuk meneruskan penganjuran karnival ini pada tahun depan yang akan diadakan dengan lebih meriah lagi dan berskala lebih besar bagi menarik kehadiran pengunjung,” katanya.
Pada hari terakhir karnival tersebut, pelbagai program sampingan turut diadakan seperti derma darah, pertunjukan pameran kereta, sumbangan kepada asnaf, cabutan bertuah dan sukan rakyat.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire