samedi 1 août 2015

Singapura pantau perkembangan semasa di Malaysia



Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, negara itu memantau dengan teliti perkembangan politik di Malaysia dan berharap ia kekal stabil.

Bercakap kepada bekas Duta, Chan Heng Chee dalam satu temu bual yang akan ke udara esok, beliau berkata, bukan sahaja hubungan ekonomi Singapura dan Malaysia kekal baik tetapi hubungan rakyat kedua-dua negara juga terus akrab.

Temu bual itu akan ke udara esok.

Ditanya mengenai kesan krisis politik Malaysia ke atas Singapura, beliau berkata: "Malaysia merupakan jiran terdekat kami, bukan sahaja daripada aspek geografi tetapi juga hubungan perdagangan dan pelaburan juga besar. Kami mempunyai ramai rakyat yang duduk dan bekerja di Malaysia dan banyak juga warga Malaysia bekerja di Singapura.

"Saya berpendapat Tambak (Johor) dan Jambatan Kedua merupakan sempadan antarabangsa tersibuk di dunia, daripada aspek bilangan orang yang berulang-alik setiap hari.

"Apabila sesuatu berlaku di Malaysia, kami memantaunya dengan teliti dan sangat mengambil berat bagaimana ia memberi kesan kepada kami. Kami mempunyai hubungan yang baik dengan Malaysia, secara peribadi saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Perdana Menteri Najib (Razak), oleh itu kami berharap Malaysia kekal stabil yang membolehkan kami boleh berurusan dan bekerjasama seperti yang kami lakukan beberapa tahun lalu.

"Apabila sesuatu berlaku yang boleh menyebabkan sama ada kejutan politik atau kekhuatiran sosial dan keselamatan, saya rasa kami perlu melihatnya secara teliti. Generasi 60an dan 70an tahu bagaimana jalinan kami, hubungan kami sangat rapat dan kami perlu memantaunya.

Sementara itu, Menteri Luar Singapura, K. Shanmugam juga ditanya mengenai kestabilan ASEAN berikutan keadaan semasa di Malaysia.

Bercakap pada taklimat media mengenai Mesyuarat Menteri Luar ASEAN yang akan diadakan diKuala Lumpur, beliau memberitahu: "Malaysia dan Singapura, mempunyai hubungan yang rapat. Kami adalah jiran terdekat.

"Apabila kedua-dua negara rapat seperti Malaysia dan Singapura, mereka mahu kestabilan antara satu sama lain.

"Jumlah dagangan antara Malaysia dan Singapura berjumlah $S111 bilion, kedua-duanya adalah rakan dagangan dan pelaburan terbesar antara satu sama lain dengan beribu-ribu rakyat Malaysia datang ke Singapura untuk bekerja dan banyak warga Singapura berurusniaga di Malaysia.

"Sebarang ketidakstabilan ekonomi di Singapura akan memberi kesan kepada Malaysia, sebarang ketidakstabilan di Malaysia akan memberi kesan kepada Singapura, kami bergantung kepada Malaysia untuk mendapatkan air setiap hari, yang dilindungi menerusi perjanjian, tetapi kami benar-benar tidak mahu sebarang ketidakstabilan.

"Oleh itu, apa yang boleh saya katakan ialah kami mengikuti perkembangan dengan teliti, kami berharap akan ada kestabilan - ia baik untuk Malaysia dan ia baik untuk kami,".


http://ift.tt/1MZ0Nbw


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire