jeudi 26 février 2015

3 wartawan Al-Jazeera ditahan terbangkan dron di Paris



BEBERAPA anggota tentera Perancis berkawal di Menara Eiffel selepas beberapa lelaki berptopeng membunuh 17 orang dalam beberapa siri serangan di Paris bulan lalu.



PARIS – Tiga wartawan stesen penyiaran Al-Jazeera ditahan pihak berkuasa Perancis kerana menerbangkan sebuah pesawat kawalan jauh atau dron sekitar sebuah taman di sini petang kelmarin.



Penahanan mereka dibuat selepas bandar raya ini menyaksikan kehadiran pesawat dron selama dua malam berturut-turut pada minggu ini.



Menurut polis, tiga wartawan asing masing-masing berusia 70, 54, dan 36 tahun itu ditahan selepas mereka mengemudi sebuah dron di taman Bois de Boulogne petang kelmarin.



“Penangkapan mereka belum dikaitkan dengan penerbangan misteri berkenaan,” kata seorang jurucakap polis.



Seorang wartawan di pejabat Al-Jazeera di sini memaklumkan kepada akhbar Telegraph bahawa adalah mustahil tiga rakan sekerjanya itu menjadi dalang di belakang penerbangan misteri beberapa buah dron pada malam Isnin dan Selasa lalu.



Wartawan berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan motif mereka menerbangkan sebuah dron di taman tersebut.



Perbuatan menerbangkan pesawat dron tanpa izin di Perancis boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun dan denda maksimum €75,000 (RM306,100).



Polis sebelum ini mengesan sekurang-kurangnya lima pesawat itu diterbangkan pada malam Selasa lalu hingga awal kelmarin termasuk berhampiran Menara Eiffel, Kedutaan Amerika Syarikat dan muzium tentera Invalides.



Pasukan keselamatan Perancis masih mencari pihak yang bertanggungjawab berhubung lima penerbangan dron lain pada hari sebelumnya. – AFP





Artikel Penuh: http://ift.tt/18rjq9S

Hakcipta terpelihara




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire