Rata-rata warga kota sedia maklum, kenaikan yang berlaku itu tidak perlu dijangka kerana semua orang tahu tentang keadaan semasa berkaitan harga minyak global yang tidak menentu.
KUALA LUMPUR, 29 Disember : Orang ramai menyifatkan pengumuman kerajaan menaikkan harga bahan api bagi RON95, RON97 dan diesel bukanlah suatu perkara yang mengejutkan sebaliknya, ia merupakan satu hakikat yang harus diterima dan memang sudah diketahui umum sebelum ini.
Rata-rata warga kota yang ditemui The Rakyat Post memberitahu, kenaikan yang berlaku itu tidak perlu dijangka kerana semua orang tahu tentang keadaan semasa berkaitan harga minyak global yang tidak menentu pada masa sekarang.
Malah, kesan terhadap kenaikan itu yang pernah dirasai sebelum ini boleh dijadikan pengalaman bagaimana seseorang individu itu harus mengurus kewangan mereka agar tidak tertekan dengan situasi yang akan dialami.
Seorang pekerja swasta, Isykandar Zulkafli, 29, berkata, dia tidak terkejut dengan pengumuman itu kerana desas- desus mengenainya telah didengari sejak seminggu lalu.
Katanya, kerajaan pernah membuat pengumuman tentang perkara tersebut pada tahun lepas dan keadaan ini sudah pasti akan ditempoh lagi pada masa-masa akan datang.
Kita memang tahu harga bahan api ini akan naik tetapi kenaikan itu janganlah terlalu ketara hingga membebankan rakyat.
Semua orang akan merasa tidak puas hati dengan kenaikan harga bahan api ini kerana implikasinya bukan sahaja terhadap minyak malah melibatkan barang keperluan yang lain , katanya.
Seorang lagi yang ditemui, Mohd. Misran Md. Amin berkata, dia hanya berharap agar tidak ada pihak terutamanya peniaga cuba untuk mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan masing-masing.
Katanya, sudah menjadi lumrah peniaga akan menaikkan apa sahaja barang termasuklah makanan dan minuman yang dijual di restoran akan dinaikan dengan memberikan alasan mereka turut terkesan dengan kenaikan harga bahan api ini.
Mereka tidak patut menjadikan itu sebagai alasan kerana kerajaan ada memberikan amaran untuk mereka tidak menaikkan harga jualan serentak dengan kenaikan harga barang api.
Rakyat sudah terbeban dengan kenaikan harga bahan api ini. Janganlah pula peniaga cuba untuk menaikkan harga jualan kerana ia akan memberi tekanan kepada mereka yang berpendapatan rendah, katanya.
Bagi Aizan Md. Salleh, 41, pula, dia mahu kerajaan terus mengawal dan memberikan subsidi bahan api semula sebagaimana yang diamalkan dahulu.
Katanya, meskipun alasan kenaikan itu adalah disebabkan penetapan berdasarkan kepada purata harga kos produk sepanjang Februari 2015 dan kadar pertukaran mata wang tetapi kerajaan masih lagi boleh mengawalnya dengan pemberian subsidi.
Tidak kiralah bagaimana kaedah yang hendak digunakan asalkan sekurang-kurangnya rakyat tidak terbaban dengan keadaan ini.
Apa pun, saya yakin semua rakyat Malaysia mahu supaya kenaikan harga bahan api ini tidak kekal dan akan kembali seperti biasa.
Dulu harga bahan api hanya naik RM20 sen ramai kawan-kawan saya mengeluh.
Sekarang ini harga minyak naik lagi dengan pertambahan 0.05 sen dan ini sudah tentu akan menambahkan lagi kedukaan mereka terutama yang berada pada tahap yang sederhana, ujarnya.
Harga bahan api bagi petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik sebanyak 25 sen seliter, berkuatkuasa jam 12.01 pagi hari ini.
Berikutan kenaikan sebanyak 25 sen tersebut, harga baru bagi bahan api petrol RON95 akan dijual pada RM1.95 seliter (RM1.70), RON97 berharga RM2.25 seliter (RM2.00) dan diesel daripada RM1.70 kepada RM1.95 seliter.
Kerajaan pada 21 November 2014 telah memutuskan bahawa penetapan harga runcit RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember 2014.
Sementara itu, harga petrol RON95 diturunkan sebanyak 21 sen seliter, manakala RON97 diturunkan sebanyak 11 sen seliter dan diesel turun 23 sen, mulai 1 Februari 2015 pada 31 Januari lalu.
Penurunan tersebut menjadikan harga minyak seliter ketika itu RM1.70 untuk petrol RON95, RM2 bagi RON97 dan RM1.70 bagi diesel.
Read more: http://ift.tt/1LYn9YO
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire