KUALA LUMPUR 27 Feb. Lebih banyak radar cuaca perlu ditempatkan di tanah tinggi berikutan kawasan tersebut dilihat sebagai titik-titik buta kepada kerja-kerja bidang meteorologi yang menyebabkan ramalan cuaca di negara ini tidak dapat memberikan data tepat.
Timbalan Pengarah Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, model kajian dan ramalan cuaca (WRF) yang digunakan ketika ini kurang berkesan dalam membuat ramalan tepat terhadap kawasan daratan sekali gus mendedahkan negara kepada risiko banjir besar.
Katanya, sedangkan dengan adanya ramalan cuaca yang lebih baik, negara akan lebih bersedia untuk menghadapi banjir buruk seperti yang melanda di Pantai Timur akhir tahun lalu.
Sebagai saintis, kita mahu melihat apakah mekanisme yang akan dilakukan selepas ini kerana model ramalan cuaca kini tidak boleh berfungsi dengan baik ke arah itu.
Model yang ada menunjukkan kebanyakan hujan masih berada di lautan tetapi sebenarnya, ukuran hujan tropika menggunakan satelit menunjukkan hujan berlaku di daratan iaitu di kawasan tanah tinggi, Jadi, kita kena memperbaiki model itu, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Bengkel Cuaca Me-lampau dan Banjir; Siasatan Awal Berhubung Bencana Banjir di Pantai Timur Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azizan menggariskan tiga faktor utama dipercayai menyebabkan berlakunya banjir besar tersebut iaitu pertama, serbuan angin sejuk atau 'cold surge' yang melanda negara-negara di benua Asia.
Katanya, serbuan angin itu bermula dari Siberia, melalui benua Asia seperti China,diikuti negara di sekitar Laut China Selatan dan akhirnya ke Malaysia di sebelah Pantai Timur dan lebih dikenali sebagai angin Monsun Timur Laut.
Beliau memberitahu, angin tersebut membawa bersama air yang tersejat dari Laut China Selatan dan dicurahkan ke kawasan Pantai Timur iaitu kawasan daratan yang ditempuhi oleh angin tersebut.
Apabila angin tersebut me-nempuh kawasan daratan setelah menyerap wap air yang banyak di sepanjang laluan Laut China Selatan, akan berlaku perolakan dan penumpuan justeru kawasan ini akan dilimpahi kadar hujan yang amat tinggi.
Kehadiran angin sejuk yang sangat kencang juga menyebabkan air laut tertolak ke arah darat dan boleh dilihat menerusi kadar pukulan ombak di negeri-negeri Pantai Timur yang sangat kuat dan tinggi berbanding kebiasaan, katanya.
Jelas Azizan, faktor kedua ialah hujan lebat dalam tempoh lama iaitu dua hingga tiga hari secara berterusan menyebabkan sungai sedia ada tidak dapat menampung jumlah air yang terlalu banyak pada satu-satu masa.
Yang terakhir adalah fenomena air pasang besar yang melanda negara berlaku serentak pada masa tersebut. Keadaan air pasang besar menyebabkan air sungai dari hulu tertampan seterusnya melimpahi kawasan rendah sekitar laluannya, katanya.
- See more at: http://ift.tt/1Ak8P68
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire