mercredi 25 février 2015

Tegar tak pernah tahu jumlah bayaran konsert





KUALA LUMPUR 25 Feb. – Penyanyi Tegar Septian, 14, mengaku tidak pernah diberitahu jumlah bayaran yang diterima selepas mengadakan sesebuah konsert baik di Malaysia mahupun Singapura.



Kata Tegar, dia dan bekas pengurusnya Muhammad Arif Dollah memang tidak pernah mempunyai perjanjian bersama tentang jumlah bayaran yang akan diterima selepas persembahan.



“Bukan mahu mengatakan saya tidak mendapat duit selepas persembahan tetapi jumlah yang diberikan hanyalah sedikit. Adalah saya merasa duit persembahan saya.



“Dia (Arif) memang menanggung makan minum saya di mana sahaja saya mengadakan persembahan tetapi semua itu duit milik saya,” kata Tegar seperti dipetik daripada perbualannya yang disiarkan menerusi segmen Singa Maksima di Radio Ria (radio Singapura) pada pukul 3 petang hari ini.



Seminggu lalu, industri hiburan kecoh seketika apabila Tegar dikatakan mengemis semula selepas menjadi mangsa penipuan bekas pengurusnya yang merupakan warga Singapura.



Dalam laporan tersebut, Muhammad Arif dikatakan menipu dan membelanjakan duit simpanan Tegar sehingga habis, malah didakwa telah membawa lari pasport serta barangan peribadi seperti komputer riba dan gitar milik penyanyi yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang itu.



Sementara itu, Tegar berkata, ibunya, Ratna Dwisasi kini menghadapi masalah kewangan.



“Duit untuk kami belanja hari-hari tidak mencukupi dan saya bersyukur kerana kami masih ada tempat tinggal,” katanya.



Dalam pada itu, Tegar juga memberitahu, Muhammad Arif adalah orang bertanggungjawab yang mengambil pasport dan barangan peribadi miliknya.



Dalam pada itu, bekas pengurus Tegar, Muhammad Arif berkata, buat masa ini dia tidak mahu memberi ulasan lanjut berhubung dakwaan tersebut.



“Ya, saya sudah dengar temu bual Tegar bersama radio itu tetapi maaf saya tidak mahu mengulas panjang. Berikan saya masa. Saya masih terkejut.



“Tentang dakwaan saya bersembunyi, sebenarnya tidak benar. Cuma saya mahu menyelamatkan diri selepas menerima ancaman bunuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.





- See more at: http://ift.tt/1Gx8kvd




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire