mardi 24 février 2015

Penyamun lari sebaik dengar azan Subuh





Baharudin (kiri) menunjukkan kesan umpilan pada pintu rumahnya kepada Aminolhuda.

< 1 / 1 >

BATU PAHAT - Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Kampung Mohd Nor, di sini, dipecah masuk tiga penyamun dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, Sabtu lalu.



Mangsa, Baharudin Md Rup, 70, berkata, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Misnah Siron, 61, dan tiga anak mereka sedang nyenyak tidur.



Menurutnya, dipercayai penyamun tersebut memasuki rumahnya melalui pintu belakang dengan memotong mangga dan mengumpil pintu.



“Mereka menerjah bilik saya dan isteri kemudian mengugut kami dengan parang. Panik dengan situai itu, kami berdua mendiamkan diri.



“Kemudian, mereka memecah dua lagi bilik di mana anak-anak kami sedang tidur menggunakan tong gas. Selepas itu, mereka mengumpulkan dan mengikat kami dalam satu bilik,” katanya.



Baharudin berkata, ketiga-tiga penyamun berkenaan tergesa-gesa meninggalkan rumahnya setelah terdengar azan Subuh.



Katanya, mereka melarikan wang tunai RM3,000, lima telefon bimbit, sebentuk cincin, sebuah komputer riba, seutas jam tangan dan tiga helai seluar jeans.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, mengesahkan kejadian berkenaan dan menasihatkan orang ramai berwaspada dan mengunci kediaman mereka dengan sebaik mungkin.



Sehubungan itu, Adun Parit Ya’ani, Aminolhuda Hassan, meminta penduduk menghidupkan semula Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kampung masing-masing bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.



Menurutnya, ia berikutan kejadian seumpama itu telah berlaku tiga kali di kampung berkenaan, pada masa terdekat ini.



“Saya sarankan penduduk kampung melakukan rondaan secara bergilir, terutamanya bermula jam 12 tengah malam sehinggalah 6 pagi, bagi mengelakkan sebarang kegiatan jenayah,” katanya.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire