Filem terbaru arahan pengarah terkenal Mamat Khalid berjudul Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh bukan saja sebuah filem yang akan membuat penonton ketawa tidak kering gusi tetapi ia menjadi satu lagi karya berbeza daripada Pengarah Terbaik FFM21 ini.
Selain jalan ceritanya, lakonan mantap barisan pelakonnya, filem yang menelan kos sekitar RM1.8 juta ini turut dijayakan 70 warga Bangladesh yang berada di sini.
Menurut Mamat, dia bersama kru produksi pergi ke beberapa kilang untuk berjumpa terus dengan pekerja-pekerja warganegara berkenaan dan membuat pemilihan. Selain itu dia membuat pemilihan menerusi kiriman gambar-gambar yang di hantar oleh mereka.
Walaupun berdepan perbezaan bahasa pertuturan antara dia dengan pelakon amaturnya, Mamat menyatakan sepanjang di lokasi penggambaran dia tidak menghadapi banyak masalah memberi arahan kerana mereka yang menunjukkan minat dan kesungguhan yang tinggi ketika melakonkan watak masing-masing meskipun hanya memengang peranan kecil.
Saya ke kilang-kilang dan berjumpa dengan mereka. Apabila saya ke rumah mereka, saya ternampak banyak gambar Shah Rukh Khan.
Saya dapat rasa yang mereka semua berangan mahu jadi pelakon macam Shah Rukh Khan. Jadi, apabila minat itu sudah ada, saya rasa ia lagi memudahkan untuk pujuk mereka berlakon dalam filem saya.
Di lokasi penggambaran, mereka ikut kepala mereka tetapi pada masa sama, mereka memang menunjukkan kesungguhan. Penghayatan mereka juga bagus.
Misalnya, kalau saya minta buat ekspresi marah, mereka bagi enam kali ganda ekspresi marah. Kadang-kadang rasa macam lagi senang arahkan bangla daripada pelakon tempatan.
Cuma, waktu mereka menjalani penggambaran agak terhad sebab mereka ini semua adalah pekerja kilang dan tidak boleh lama sehingga terlalu lewat kerana keesokan harinya mereka perlu pergi kerja, kata pengarah berusia 52 tahun ini ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem berkenaan di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi.
Selain menampilkan lakonan orang Bangladesh untuk menjadikan karyanya ini tambah realistik, beberapa bahagian skrip filem ini juga diolah dalam bahasa Bengali merujuk kepada bahasa rasmi Bangladesh.
Mamat juga menggunakan khidmat seorang jurubahasa Bangladesh untuk memastikan dialog dalam bahasa berkenaan digunakan tepat dan betul sebutannya.
Skrip mulanya dihasilkan dalam bahasa Melayu kemudian ada seorang penterjemah bahasa Bangladesh menterjemahkannya. Saya tidak gunakan bahasa formal mereka sebaliknya, saya gunakan loghat dan bahasa harian mereka.
Saya juga memberi kebebasan kepada pelakon saya iaitu Bangladesh ini mengucapkan dialog dengan cara dan loghat mereka sendiri. Pendek kata, bahasa Bangladesh yang menjadi pertuturan dalam filem ini adalah bahasa loghat sebenar mereka, katanya.
Pun begitu, dia tidak meletakkan harapan tinggi bahawa filem ini boleh menarik minat masyarakat Bangladesh untuk datang menonton. Sebaliknya, dia percaya filem ini mampu berdiri sendiri dan pasti penonton tempatan sukakan karyanya akan datang menonton ke pawangam.
Sebelum ini saya buat filem Estet, dijangkakan ramai bangsa India akan datang menonton tetapi itu tidak pun berlaku. Saya tidaklah letak harapan ramai warganegara Bangladesh akan datang menonton.
Sebaliknya, golongan sasaran masih tetap pada penonton tempatan. Lagipun filem ini kuat dengan komedinya, kesedihannya, kegembiraannya dan suspennya, katanya.
Dalam pada itu, Mamat berkata filem ini bukan bermaksud menyokong kemasukan warganegara asing ke negara ini. Namun, mesej yang hendak di sampaikan ialah agar masyarakat tempatan mengikis sikap suka memandang rendah warganegara lain terutama golongan warga asing yang datang berkerja dan bermastautin di sini.
Saya tidaklah menyokong tetapi kalau mereka ada permit, tidak mengapa. Misalnya, kalau terjumpa dengan pekerja Bangladesh ada yang suka dan selalu perlekehkan nama mereka itu.
Cuba bayangkan kalau ada kenalan kita yang bekerja di luar negara dan mereka diperlakukan seperti itu, bagaimana agaknya perasaan mereka dan apa pula agaknya reaksi kita apabila mendengarnya.
Mereka ini masing-masing ada kekuatan. Bukanlah saya seru kita semua untuk menunjukkan rasa hormat yang teramat sangat terhadap mereka, tetapi cubalah selami isi hati, sifat dan sisi baik mereka, ujarnya.
Plot filem ini mengisahkan wabak serigala yang dibawa dua adik-beradik iaitu Kumba dan Kumbi dari Bangladesh kini sudah mula merebak di Malaysia. Dengan bantuan Jenab Rammunggei (Emma Maembong), Kumba dan Kumbi mahu mengembangkan pembiakan baka serigala berkenaan sekaligus melenyapkan spesis manusia di muka bumi ini.
Bagaimanapun, agenda jahat itu sudah lama diketahui Pilun (Zizan Razak) iaitu seorang pekerja asing tanpa izin warga Bangladesh yang berkerja di kedai Usop (Usop Wilcha). Pilun berkali-kali mahu memberitahu Usop mengenai hal itu tetapi usahanya sering terhalang.
Menjalani penggambaran kira-kira dua tahun lalu di sekitar Taiping dan Ipoh, Perak, filem ini yang turut dijayakan Usop Wilcha dan Saiful Apek menjadi filem ke-13 pembikinan Mamat yang bakal menjengah pawagam di seluruh tanah air bermula 5 Mac ini.
http://ift.tt/1wwr7AX
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire