vendredi 1 mai 2015

Dua lelaki ditahan curi hasil dusun


Azman (dua, kanan) menunjukkan durian belanda yang dirampas selepas menahan dua lelaki di Panchor, kelmarin.

MUAR - Misteri kehilangan hasil dusun di kampung sekitar Pagoh dan daerah ini sejak setahun lalu terjawab selepas dua lelaki ditahan di Panchor, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayub berkata, dua suspek terbabit yang aktif mencuri pisang tanduk, durian belanda dan buah-buahan tempatan, ditahan kira-kira jam 5 petang kerana dilihat mencurigakan dalam sebuah kereta.

Menurut Azman, kedua-dua suspek ditahan susulan laporan polis dibuat mangsa mengenai kecurian buah durian belanda yang ditanam di Kampung Seri Makmor.

"Pemeriksaan ke atas suspek berusia 39 dan 27 tahun itu menemukan sebilah pisau buatan sendiri bersaiz kecil, 22 biji durian belanda dan wang tunai RM110.

"Suspek juga mengaku mencuri durian belanda tersebut dari sebuah kebun di kampung berkenaan dan wang tunai itu adalah hasil jualan buah tersebut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar , di sini semalam.

Katanya, suspek berusia 39 tahun itu juga didapati positif dadah jenis herion berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihaknya berjaya menurunkan 2,090 keping poster menerusi Ops Banner di kawasan tumpuan menerusi 111 operasi dari awal tahun sehingga kini.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 112 operasi dijalankan dengan menurunkan 3,360 keping poster dan kesalahan itu disiasat mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire