vendredi 1 mai 2015

Isu hakisan pantai dalam perhatian



TEPOH - Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail mengesahkan bahawa masalah hakisan di pangkalan nelayan Kampung Tanjung Gelam dan sekitarnya dalam perhatian pihaknya.

Bagaimanapun, jelas Basir ketika ini kaedah untuk mengatasi masalah itu belum diputuskan kerana projek pembinaan benteng di kawasan Tok Jembal masih dalam pembinaan.

"Saya sendiri turun padang melihat perkara ini sebaik dimaklumkan penduduk dan kita juga mengajukan kepada pihak atasan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi hakisan daripada terus mengundang kebimbangan ramai.

"Tetapi, kita sedia maklum bahawa peruntukan untuk membaik pulih memerlukan kos yang tinggi dan perkara ini juga berada dalam makluman Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Basir lagi, tidak dinafikan ada pendapat mengatakan masalah yang melanda kawasan pantai di Tanjung Gelam itu berpunca daripada kerja pembinaan benteng pemecah ombak di sekitar Pantai Tok Jembal yang turut mengalami masalah hakisan kritikal.

"Setakat ini, kita belum memutuskan langkah untuk mengatasi perkara ini kerana kita sedia maklum projek pembinaan (benteng pemecah ombak di Tok Jembal) masih giat dilakukan, jadi kita memerlukan penelitian terperinci," katanya.

Katanya lagi, kerajaan sentiasa komited dan berusaha untuk memastikan segala permasalahan melibatkan rakyat diberi perhatian sewajarnya.

"Kita akan memastikan masalah hakisan ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya kerana kita sedia maklum akibat masalah ini juga turut menjejas pendapatan nelayan yang tidak dapat turun ke laut," katanya.

Sinar Harian, semalam, melaporkan masalah hakisan pantai terus menghantui penduduk terutamanya kepada lebih kurang 200 nelayan di Kampung Tanjung Gelam, di sini, apabila kejadian itu dilihat semakin parah sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Lebih teruk lagi, pangkalan yang dahulunya dijadikan sebagai tempat pendaratan bot serta hasil laut kini turut hanyut ditelan ombak dipercayai berpunca daripada kerja-kerja membina benteng pemecah ombak di kawasan berdekatan.

Kesan daripada itu juga turut mengakibatkan lebih kurang 130 meter kawasan pantai terhakis dan kini semakin mengancam nyawa serta harta benda penduduk di kawasan berdekatan dan tidak mustahil keaslian pantai itu akan hilang pada masa akan datang.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire