vendredi 1 mai 2015

Tapai pulut laku 1500 bungkus sehari, akui jika buat ketika haid tapai jadi merah


Siti Fatimah menunjukkan variasi tapai Kampung Bohor.

Alor Setar: Bermula sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang, nama dan keenakan Tapai Pulut Imah kini bukan sekadar menjadi sebutan, malah begitu popular di majlis keramaian seperti kenduri kahwin mahupun hidangan di hotel di negeri ini.

Difahamkan, Tapai Pulut Imah menjadi bualan ramai sehingga turut dihidangkan dalam acara rasmi istana, sekali gus membuatkan pengusahanya Siti Fatimah Ahmad, 39, dari Kampung Bohor, Hutan Kampung, di sini, bagai tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Segalanya bermula apabila Siti Fatimah yang juga bekas bidan kampung mula menunjukkan minat berniaga selepas tapai pulutnya mendapat perhatian penduduk kampung apabila menjelang musim perayaan ketika mula berjinak-jinak dalam pembuatan makanan tradisi itu.

Siti Fatimah berkata, dia mula menceburi bidang perniagaan tapai pulut pada awal 2009 dengan hanya mengambil tempahan untuk kenduri kahwin dan juga musim perayaan saja, selain turut meletakkan tapai berkenaan di kedai makan berhampiran rumahnya.

Menurut ibu kepada lima orang anak itu, dia berniaga secara suka-suka, tetapi tidak menyangka tapai pulut terbabit menjadi perhatian dan kegemaran orang ramai.

“Mulanya saya belajar membuat tapai pulut ini daripada arwah nenek kerana bimbang tiada pewaris resepi selepas ini kerana prosesnya agak rumit dan mempunyai pelbagai pantang larang.

“Pantang larang ini perlu diikuti kerana bimbang tapai pulut tidak menjadi dan bertukar masam, sekali gus tidak boleh dimakan, walaupun sebahagian daripadanya kelihatan tidak relevan pada masa kini, ia perlu dipatuhi juga,” katanya.

Mengikut amalan nenek moyang, wanita yang membuat tapai perlu bebas kedatangan haid kerana bimbang tapai pulut menjadi masam dan berwarna merah.

“Pada saya, walaupun amalan ini kelihatan mengarut, saya pernah mencuba untuk membuatnya dalam keadaan datang bulan, dan ternyata semua tapai pulut ketika itu bertukar masam dan berwarna merah,” katanya.

Siti Fatimah turut membina sebuah gerai cendol, sekali gus cuba mempopularkan tapainya dan wanita terbabit amat bersyukur kerana menerima sambutan baik.

“Permintaan terhadap tapai semakin bertambah menyebabkan saya terpaksa menambah lebih 1,500 bungkusan tapai sehari kerana pelanggan akan datang makan selain turut dibawa pulang.

“Saya kini mempelbagaikan kaedah memakan tapai ini dengan cuba mempopularkan tapai cendol, tapai susu kerbau dan tapai aiskrim,” katanya.


- See more at: http://ift.tt/1GDSvB9


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire