dimanche 3 mai 2015

Isu perumahan jadi keutamaan


KUALA LUMPUR 9 April 2015 - Wawancara Khas bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk program 'Soal Jawab' di TV3 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Gambar: RUSHDI SALLEH/ Pix (Utusan)

KUALA LUMPUR 3 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa beliau akan sentiasa memberi keutamaan kepada isu berkaitan pemilikan rumah di negara ini.

Perdana Menteri berkata, kepentingan rakyat termasuk warga Felda dalam soal pemilikan rumah perlu didahulukan.

“Soal pemilikan rumah mampu milik akan saya sentiasa berikan keutamaan demi kepentingan semua rakyat Malaysia, termasuk warga Felda.

“Moga program di Felda Keratong 10, Rompin sebentar lagi berjalan lancar,” katanya melalui laman Facebook beliau hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan, kerajaan menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual beli kepada generasi baharu Felda di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM120,000 yang ditawarkan sebelum ini.

Bagi generasi baharu yang tidak berkeupayaan mendapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berkenaan, kerajaan akan menyediakan skim sewa dan beli iaitu mereka dapat menduduki rumah itu selama lima tahun secara sewaan dengan kadar munasabah.

Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim di Felda Keratong 10 hari ini.

Kelmarin, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin memohon Perdana Menteri supaya mengkaji semula harga kira-kira 18,000 rumah generasi kedua Felda di Rompin kerana harga antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit itu adalah di luar kemampuan golongan sasar.

Sebanyak 1,504 unit kediaman dibina di bawah projek PGBF di Parlimen Rompin iaitu di Felda Selancar 4 dan 5 sebanyak 480 unit, Felda Keratong 4 (264 unit), Felda Selendang 2 (360 unit) serta Felda Keratong 7 (400 unit).


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire