vendredi 1 mai 2015

MAS jual enam pesawat A380, empat Boeing 777-200ER?


PESAWAT A380.

KUALA LUMPUR 1 Mei – Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dikatakan mengambil langkah drastik dalam usaha pemulihan syarikat penerbangan itu dengan menjual semua enam pesawat A380 dan empat pesawat Boeing 777-200ER.

Laporan Australian Business Traveller yang memetik laman web terkenal dalam industri penerbangan, Leeham News menyatakan, penjualan pesawat-pesawat itu mula dibuka secara jualan langsung atau pajakan.

Turut disenaraikan untuk jualan ialah enam pesawat pengangkut iaitu dua Boeing 747-400s dan empat Airbus A330-200s yang disifatkan Leeham News sebagai menutup operasi MASkargo.

MAS menerima pesawat A380 kurang tiga tahun lalu iaitu pada Mei 2012 dan digunakan untuk penerbangan daripada Kuala Lumpur ke London dan juga Paris.

Pada tahun 2012, senarai harga bagi pesawat A380 adalah AS$389.9 juta (RM1,392.64 juta) namun terdapat spekulasi yang mengatakan syarikat penerbangan selalunya membayar separuh daripada harga tersebut, lapor Australian Business Traveller.

Setiap pesawat A380 mengandungi lapan kabin kelas pertama yang merupakan tempat tidur terluas di dunia, 66 tempat duduk kelas perniagaan dan 420 kelas ekonomi.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire