Ketua Pegawai Eksekutif MAS Christoph R Mueller, berkata tiada sebarang keputusan muktamad dibuat tentang penjualan pesawat atau pemajakannya seperti didakwa. Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Mei, 2015.
Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) hari ini menafikan menjual beberapa pesawat mereka untuk mengatasi kerugian seperti dilapor media baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christoph R Mueller, menjelaskan perkara tersebut, mengatakan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat tentang penjualan pesawat atau pemajakannya seperti didakwa.
"Spekulasi baru-baru ini, tentang syarikat penerbangan ini menawarkan beberapa pesawatnya untuk dijual atau dipajak, dibuat terlalu awal, apabila tiada sebarang keputusan konkrit dicapai.
"MAS perlu beroperasi dan menggunakan pesawatnya pada tahap optimum di samping memaksimumkan hasil daripada penerbangannya.
"Pasaran perlu memberi MAS ruang meneroka pelbagai pilihan bagi menentukan sendiri strategi yang paling mapan," kata Mueller dalam satu kenyataan hari ini.
Laman web penerbangan terkenal, Leeham News, baru-baru ini melaporkan MAS bakal mengambil langkah drastik dalam usaha pemulihan syarikat penerbangan itu dengan menjual semua enam pesawat A380 dan empat pesawat Boeing 777-200ER.
Penjualan pesawat itu dikatakan mula dibuka secara jualan langsung atau pajakan.
Laporan itu juga mengatakan penjualan tersebut bermakna berakhirnya perkhidmatan penerbangan MASCargo.
MAS menerima pesawat A380 kurang tiga tahun lalu iaitu pada Mei 2012 dan digunakan untuk penerbangan daripada Kuala Lumpur ke London dan juga Paris.
Pada 27 Ogos lepas, Kabinet meluluskan pelan penstrukturan semula yang dikemukakan Khazanah bagi syarikat penerbangan itu yang antara lain, akan menyaksikan pembuangan pekerja sehingga 6,000 orang.
Rancangan yang difikirkan itu perlu, selepas MAS mengalami kerugian kewangan beberapa tahun sebelum ini.
Syarikat penerbangan negara tersebut juga berdepan dua tragedi yang menambah lagi beban yang dialami mereka sebelum ini. 4 Mei, 2015.
- See more at: http://ift.tt/1QeZ3wS
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire