Muhyiddin Yassin
BUKIT MERTAJAM 2 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM75.21 juta untuk membina 14 masjid di negeri ini sejak 2007.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan turut membelanjakan sebanyak RM180.85 juta bagi projek dan program pembangunan keagamaan Islam dari 2008 hingga tahun lalu.
"Peruntukan itu disalurkan bagi pelaksanaan projek-projek fizikal seperti membina atau menaik taraf surau dan masjid serta sumbangan untuk melaksanakan program keagamaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada pengurusan sekolah agama, masjid dan surau di Masjid Timah di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Dalam majlis itu, Jamil Khir turut menyerahkan bantuan sebanyak RM2.32 juta untuk diagihkan kepada 32 sekolah agama rakyat dan 12 sekolah agama bantuan kerajaan di negeri ini serta 42 sekolah agama rakyat; masjid (28) dan surau (62) dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Muhyiddin berkata, kerajaan Persekutuan memberikan perhatian utama kepada pembangunan dan perkembangan syiar Islam di negara ini selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, institusi-institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam negeri, Majlis Agama Islam negeri dan Lembaga Tabung Haji ditubuhkan untuk menjaga hal ehwal agama Islam dan mengembangkan syiar Islam.
Dalam pada itu katanya, kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM22 juta setiap tahun untuk membayar elaun kepada 180 guru takmir, 1,400 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), 500 imam dan lima pegawai penyelaras masjid daerah di negeri ini.
Muhyiddin menambah, bidang pendidikan Islam formal turut memainkan peranan penting dalam keadaan dunia hari ini yang berhadapan dengan ancaman pelbagai bentuk fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
"Kemunculan kumpulan ekstremis seperti militan Negara Islam (IS) berpunca daripada salah faham terhadap Islam.
"Islam tidak tertegak di atas jalan keganasan, sebaliknya terbina menerusi jalan dakwah dan tarbiah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda," kata beliau.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire