Fenomena penjualan makanan dari atas trak (food truck) yang popular di Barat, semakin berkembang di negara ini sejak beberapa tahun lalu dengan menampilkan pelbagai jenis menu dan hidangan yang menyelerakan.
Tidak hanya menghidangkan variasi menu yang lazat, ada di antara pemilik makanan atas trak itu mempersembahkan hidangan makanan bertaraf lima bintang dengan harga sangat berpatutan.
Lazimnya, makanan atas trak lebih sinonim dengan makanan Barat seperti penyediaan sandwic, cheesesteak, pasta, makaroni dan hotdog panggang yang sering dinikmati dengan jus buah-buahan.
Pun begitu, Mesti Sedap Beriani Food Truck (MS Beriani Foodtruck) membawa gaya berbeza apabila mengetengahkan makanan asli dari negeri Johor seperti nasi beriani kambing, nasi beriani ayam, kacang pool, laksa Johor dan mi rebus.
Jika anda fikir sukar untuk mencari atau menikmati hidangan itu selain di restoran, mungkin persepsi itu berubah apabila singgah dan mencuba makanan yang disajikan di MS Beriani Foodtruck yang ketika ini hanya bergerak di sekitar Shah Alam, Selangor.
Menariknya, biarpun menghidangkan menu yang rumit di atas trak, pelanggan berpuas hati apabila makanan yang ditawarkan bukan sahaja enak, malah dibungkus kemas, menarik serta mudah untuk dinikmati di mana-mana.
Perniagaan yang diusahakan tiga beradik, Mohd. Kamaruddin Md. Salleh, 31, Mohd. Hafizzudin, 29, dan Mohd. Nizamuddin, 25, sejak tahun lalu itu, bertujuan 'menggerakkan' makanan asli Johor.
Mereka mahu mempopularkan hidangan tradisional itu kepada komuniti perniagaan atas trak terutamanya kepada golongan muda.
Lazimnya, makanan tradisional lebih sinonim dengan air tangan orang tua, namun uniknya di MS Beriani Foodtruck, tukang masak yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan menu berkenaan adalah seorang anak muda.
Ujar Mohd. Nizamuddin, dia perlu menyediakan sebanyak 50 kilogram beras, 30 kilogram daging kambing dan 30 kilogram daging ayam sehari untuk masakan beriani.
Selain itu, 15 kilogram daging cincang diperlukan untuk kacang pool, manakala laksa Johor dan mi rebus masing-masing 30 bungkus bagi memenuhi permintaan pelanggan setiap hari.
Tambahnya, hidangan dimasak setiap hari seawal pukul 8 pagi dengan menggunakan bahan-bahan segar bagi menghasilkan hidangan yang enak, berkualiti serta menepati lidah penggemar masakan asli Johor.
"Selain hidangan beriani, menu kacang pool merupakan antara yang paling digemari pelanggan kerana sukar didapati selain di Johor. Kacang pool MS Beriani Foodtruck menggunakan kacang parang dan kacang pool, daging cincang yang berkualiti, serta rempah-ratus yang digiling sendiri.
"Bagi memastikan hidangan kacang pool terbaik, telur mata serta roti benggali hanya disediakan apabila pelanggan membuat tempahan, jadi, mereka boleh menikmatinya panas-panas.
"Nasi beriani pula kita gunakan beras Pakistan kerana kualitinya lebih baik dan enak dimakan berbanding beras basmathi biasa. Kita akan tumis bahan-bahan rempah untuk tempoh lama agar rasanya sebati, sebab itu makan nasi sahaja tanpa lauk pun sudah sedap," jelasnya.
Sementara itu, menurut Mohd. Kamaruddin, pengalaman keluarganya yang menguruskan katering makanan asli Johor sejak 10 tahun lalu, membantu mereka menguruskan perniagaan makanan atas trak dengan lebih mudah.
Katanya, memang tidak mudah untuk menguruskan hidangan asli di atas trak kerana faktor ruang yang sempit dan terhad, apatah lagi banyak peralatan dan bahan makanan yang perlu disediakan, selain melibatkan makanan yang berkuah.
"Selain itu, kita juga perlu memastikan makanan itu segar dan tidak basi sepanjang hari kerana apabila melibatkan hidangan asli pastinya penggunaan nasi, santan serta rempah ratus memerlukan penyediaan yang lebih rapi.
"Jika tidak, makanan yang dihidangkan hilang kesegarannya serta tidak berkualiti dengar harga yang ditawarkan," katanya.
Terdapat lima jenis hidangan dengan harga berpatutan ditawarkan MS Beriani Foodtruck, iaitu nasi beriani kambing (RM12), nasi beriani ayam (RM10), laksa Johor (RM6), mi rebus (RM5), kacang pool (RM6).
Menurut Mohd. Kamaruddin, ketika ini, MS Beriani Foodtruck hanya beroperasi di dua lokasi iaitu di Masjid Hidayah, Seksyen 18, pada setiap hari Jumaat, manakala di Seksyen 9 pada hari Isnin sehingga Khamis.
Pun begitu, MS Beriani Foodtruck merancang untuk bergerak luar dari Shah Alam sebelum hujung tahun ini apabila sebuah lagi trak akan ditambah bagi memenuhi permintaan pelanggan di luar kawasan itu.
Istimewanya, beberapa menu baharu akan diperkenalkan antaranya hotdog cheese pool dan bandung soda bagi memberi pilihan kepada pelanggan.
"Kita memang dalam perancangan untuk menambah jumlah trak pada masa depan. Bagi mereka yang ingin mengetahui lokasi trak kami pada setiap hari Sabtu dan Ahad boleh melayari Instagram kerana lazimnya hujung minggu kami akan mengikuti aktiviti-aktiviti di kawasan tumpuan pengunjung," katanya.
Selain beroperasi secara atas trak bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang, MS Beriani Foodtruck juga menerima tempahan katering untuk majlis keramaian seperti kenduri kahwin, sambutan hari lahir serta perjumpaan alumni.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari di Instagram ms_foodtruck atau Facebook msberianifoodtruck atau menghubungi di talian 014-232 8521.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire