samedi 2 mai 2015

Tambak Johor terlalu sesak, padat


Hasni (kemeja biru) menyaksikan acara sukan laut sempena Pesta Suka Laut Dun Nusajaya yang diadakan di Jeti Pendas Laut, semalam

GELANG PATAH - Kerajaan Negeri berharap Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan segera berhubung pembinaan Jambatan Persahabatan yang menghubungkan kedua-dua negara menerusi pembangunan Sistem Transit Pantas (RTS).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, beberapa kajian yang dijalankan tahun lalu mendapati Tambak Johor mengalami kesesakan teruk dan tidak dapat menampung kepadatan kenderaan dari kedua-dua negara.

Sehubungan itu katanya, pembinaan Jambatan Persahabatan perlu dilakukan dalam kadar segera bagi mengatasi kesesakan yang berlaku di samping menyediakan kemudahan jaringan jalan raya yang lebih baik kepada pengguna.

"Mengikut perancangan asal, projek RTS hanya membabitkan pembinaan landasan kereta Api tetapi kita merasakan ia satu pembaziran jika hanya digunakan untuk kereta Api dan tidak dapat membantu mengatasi kesesakan trafik di Tambak Johor sepenuhnya.

"Kedua-dua pihak menyedari bahawa Tambak Johor sudah terlalu sesak dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga telah cadangkan pembinaan Jambatan Persahabatan yang dapat digunakan kenderaan ringan.

"Jadi kita harap keputusan mengenai pembinaan jambatan ini dapat dimuktamadkan dalam pertemuan pemimpin kedua-dua negara pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura beberapa hari lagi ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Suka Laut Dun Nusajaya Sempena Kemahkotaan Sultan Johor di Jeti Pendas Laut di sini, semalam.

Terdahulu pada Febuari 2013, Malaysia dan Singapura mengumumkan persetujuan bagi membangunkan RTS sebagai langkah mempertingkatkan sistem jaringan dan perhubungan kedua-dua negara.

April tahun lalu, Najib turut mengesyorkan pembinaan Jambatan Persahabatan bagi tujuan sama disamping menjadi simbol persahabatan antara kedua-dua negara.

Selain itu Hasni berkata, satu pertemuan bersama pengusaha pengangkutan berat dan pihak berkepentingan akan diadakan berhubungan rancangan memindahkan laluan kenderaan berat ke Lebuhraya Laluan Kedua (2nd Link).

"Sekarang ini kita dalam proses melengkapkan laporan untuk dihantar kepada Kementerian Pengangkutan dan selepas itu perbincangan akan diadakan bersama pihak berkepentingan sekiranya ia mendapat kelulusan kabinet," katanya.


Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire