MUSA AMAN (tengah) bersama barisan sayap UMNO Bahagian Libaran melaungkan kata-kata semangat sempena Majlis Perasmian Serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Libaran di Sandakan, Sabah, semalam. UTUSAN/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN
SANDAKAN 1 Ogos - Tiga sayap UMNO perlu bersiap sedia serta mempunyai sifat seperti seorang ‘hulubalang’ dalam menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab kepada pemimpin parti keramat Melayu itu.
Tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Musa Aman, persiapan itu boleh dilakukan jentera ketiga-tiga sayap parti dengan menggunakan kaedah mesra media sosial selain pendekatan turun padang mendekati rakyat.
Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, ketiga-tiga sayap itu pada masa sama perlu berupaya menjelaskan segala tohmahan dengan berkesan kepada akar umbi dan rakyat supaya mereka tidak terpengaruh dengan dakyah negatif tersebut.
“Sayap parti merupakan penghubung antara kerajaan dengan akar umbi. Sayap berperanan menjelaskan mengenai dasar dan perancangan yang dibuat kerajaan demi manfaat rakyat.
“Sokongan dan dokongan tiga sayap parti ini menjadikan UMNO sebuah parti yang mempunyai kelengkapan. Mereka (Wanita, Pemuda serta Puteri) adalah pelengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Libaran di Dewan Libaran di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Naib Ketuanya, Datuk Zakaria Edris dan ketiga-tiga ketua sayap UMNO Libaran.
Dalam pada itu, Musa memberitahu, UMNO merupakan sebuah pasti yang mempunyai keindahan dan kecantikan tersendiri apabila setiap jentera parti mempunyai peranan dalam mendekati rakyat, daripada golongan tua hingga muda.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata, peranan itu juga merupakan kekuatan UMNO yang masih lagi menjadi tulang belakang kepada parti kaum Melayu dan bumiputera.
Sebubungan itu, beliau mengingatkan sayap parti itu terutama Pemuda dan Puteri agar tidak lupa akan peranan mereka mendekati golongan muda serta pengundi baharu di negeri ini.
“Saya percaya dengan semangat tinggi, bekerjasama serta bersatu-padu yang dimiliki semua pihak, UMNO akan kekal sebagai parti keramat Melayu yang unggul, relevan dan dinamik sekali gus diterima masyarakat.
“Malah, melalui kekuatan, kerjasama dan perpaduan ini, UMNO juga tidak boleh diganggu-gugat serta dipermainkan pihak lawan,” katanya lagi.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire