Struktur ini dipercayai menara pencawang telekomunikasi dipasang berhampiran dengan sebuah sekolah dan kediaman penduduk.
BANDAR KUALA KANGSAR - Rentetan bantahan beberapa pihak termasuk penduduk terhadap pembinaan pencawang telekomunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tampil memberikan penjelasan.
Ketua SKMM Wilayah Utara, Ismail Othman berkata, suruhanjaya tersebut telah menetapkan piawaian tertentu bagi menjamin keselamatan penduduk.
Menurutnya, orang awam dinasihatkan membuat kajian mendalam berhubung kesan radiasi menara pencawang telekomunikasi terhadap kesihatan manusia sebelum membantah pembinaannya.
"Ia berikutan terdapat dakwaan mengatakan struktur itu memberikan kesan buruk kepada kesihatan manusia namun dakwaan tersebut belum dapat dibuktikan secara saintifik.
"Terdapat garis panduan yang ditetapkan dalam pembinaan menara ini, termasuk mestilah berada lingkungan 20 hingga 30 meter daripada kediaman penduduk," katanya.
Tambah Ismail, SKMM juga telah mengehadkan had radiasi yang boleh dipancarkan oleh satu sistem telekomunikasi dan ia tidak membahayakan manusia.
"Kita menetapkan jumlah pancaran yang dikeluarkan perlu mengikut sukatan ditetapkan. Jika melepasi tahap ditetapkan, kita akan mengambil tindakan.
"Setakat ini, segala pencawang yang dipasang mengikut garis panduan ditetapkan. Kita tidak akan membenarkan sekiranya ia melanggar peraturan ditetapkan," katanya dalam sidang media ketika mengadakan sesi dialog bersama penduduk di sini, baru-baru ini.
Pemantauan berkala dilakukan
Tambah Ismail lagi, selain daripada pemantauan yang dilakukan, pihaknya juga membuat sukatan di pencawang yang dibina dan biasanya jumlah radiasi yang dilepaskan tidak melebihi had ditetapkan.
"Kita juga telah melantik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai badan bebas untuk membuat pemantauan berterusan selama dua tahun. Selain itu, kita juga membuat pemantauan secara berkala.
"Kita memandang serius perkara ini dan sekiranya terbukti radiasi daripada pencawang menyebabkan penyakit, SKMM juga tidak akan benarkan pencawang ini dibina," katanya.
Radiasi pencawang tidak berbahaya
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Komunikasi Tanpa Wayar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Tharek Abd Rahman berkata, tiada bukti saintifik mengatakan radiasi dilepaskan pencawang itu mampu menjejaskan kesihatan manusia.
Menurutnya, negara Eropah juga pernah membawa perkara ini ke mahkamah namun mereka tewas kerana gagal memberikan bukti berhubung kewujudan radiasi yang mendatangkan bahaya kepada manusia.
Tambah Tharek, UTM kini mempunyai lima stesen pemantau di seluruh negara yang berfungsi mengkaji dan mengumpul maklumat berkaitan radiasi dilepaskan menara pencawang telekomunikasi.
"Dua di Johor, satu di Kuala Lumpur dan dua lagi di Pulau Pinang. Menariknya, semua stesen ini diletakkan di kawasan tumpuan orang.
"Stesen tersebut akan digunakan untuk memantau kesan radiasi kepada manusia dan adakah ia melepaskan pancaran berbahaya," katanya dalam sidang media sama.
Ujar Tharek lagi, setakat ini tiada lagi kes kematian disebabkan radiasi yang berlaku di Malaysia memandangkan jumlah pancaran yang dikenakan terhadap penduduk tidak tinggi.
Dialog beri penjelasan berkaitan radiasi
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Shahrom Abd Malik berkata, pihaknya bekerjasama dengan SKMM menganjurkan dialog tersebut bagi memberi penerangan kepada penduduk berhubung kesan radiasi.
Menurutnya, tujuan utama dialog untuk memberi pemahaman dan maklumat tentang persepsi tidak betul yang berlegar dalam kalangan masyarakat.
Tambah Shahrom, inisiatif ini diharap mampu membantu menyelesaikan segala salah faham dan kekurangan maklumat dalam kalangan masyarakat Kuala Kangsar.
"Setakat ini, sebanyak kira-kira 15 permohonan kita tolak dan kebanyakannya disebabkan ia tidak mengikut garis panduan ditetapkan dan juga bantahan daripada penduduk.
"Sedangkan di Kuala Kangsar ini liputan internetnya agak lemah. Kita ada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) namun rangkaian di Chandan Puteri sangat lemah," katanya.
Ujarnya lagi, MPKK perlu memberi pemahaman kepada rakyat dan sehingga kini, sebanyak 107 menara pencawang telekomunikasi telah diluluskan dan dibina di Kuala Kangsar.