Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) bersama Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 7.50 sen seunit untuk skim Amanah Saham Bumiputera2 (ASB2) di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 31 Mac – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencatat agihan pendapatan sebanyak 7.75 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) melibatkan pembayaran berjumlah RM92 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, agihan pendapatan itu akan memberi manfaat kepada 103,546 pemegang unit yang telah melanggan 2.06 bilion unit ASB2.
Katanya, agihan pendapatan itu juga melibatkan agihan pendapatan tahunan sebanyak 7.50 sen seunit dan agihan pendapatan khas sebanyak 0.25 sen seunit sebagai tanda penghargaan kepada pelabur yang memberi sokongan terhadap produk terbaharu ASNB.
"Sokongan pelabur terhadap ASB2 adalah amat menggalakkan dan jauh lebih tinggi berbanding prestasi langganan satu tahun tabung-tabung unit amanah berharga tetap yang dilancarkan sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar mengumumkan agihan pendapatan ASB2 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
ASB2 yang dilancarkan pada 2 April 2014 mencatat jumlah pendapatan kasar sebanyak RM130.6 juta manakala pendapatan daripada keuntungan jualan saham menyumbang sebanyak RM86 juta atau 65.8 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar.
Pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM30 juta atau 23 peratus manakala selebihnya iaitu RM14.6 juta atau 11.2 peratus daripada lain-lain pendapatan.
Semua urus niaga bagi ASB2 di pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB ditangguhkan pada 22 Mac sehingga 31 Mac 2015 bagi kiraan pengagihan pendapatan. Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASB2 mulai 1 April 2015.
Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April ini, ASNB akan mengenakan cukai ke atas perkhidmatan yang dilanggan oleh pemegang unit seperti caj jualan dan yuran perkhidmatan, hibah amanah dan pengisytiharan amanah serta permintaan tulis cek.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire