Jame Alip
KOTA KINABALU - Program 'Jom Daftar' merupakan platform terbaik bagi tadika yang masih belum berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tampil berbuat demikian.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip berkata, menerusi program itu pihak pengurusan tadika boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung proses pendaftaran di negeri ini.
Katanya, sehingga kini terdapat 4,016 kelas Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di Sabah berdaftar dengan KPM dan daripada jumlah itu 530 berada sekitar Kota Kinabalu.
"Pelbagai agensi telah mendaftarkan tadika di bawah agensinya termasuklah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi (JPNIN) Sabah dan tadika swasta," katanya ketika merasmikan program itu di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Maimunah Shuhaibul.
Sabah merupakan negeri ketiga mengadakan program 'Jom Daftar' selepas Perak pada Februari dan Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Menurut Jame, program itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan pendidikan awal kanak-kanak di samping mengingatkan ibu bapa dan penjaga untuk memilih prasekolah yang berdaftar dengan KPM.
Tambah beliau, KPM juga melancarkan laman web carian bagi ibu bapa menyemak status pendaftaran tadika berdaftar bagi memudahkan mereka mengenal pasti tadika yang sesuai serta mematuhi piawaian.
"Orang ramai dan ibu bapa khususnya dinasihatkan untuk melayari laman web http://ift.tt/1a2inhq institusi.html untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai status pendaftaran tadika di kejiranan masing-masing," katanya. - Bernama
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire