Mustapa Mohamed (tengah) bersama Mukhriz Mahathir (kanan) dan Redza Rafiq Abdul Aziz (kiri) sebelum sesi taklimat di Kulim Hitech Park, Kulim, semalam. bernama
KULIM 31 Mac – Ketidaktentuan nilai Ringgit serta pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) diyakini tidak akan menjejaskan minat pelabur untuk datang ke negara ini ekoran pelbagai insentif menarik sudah pun ditawarkan kerajaan kepada mereka.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keyakinan itu bersandarkan 'kekuatan' negara ini dalam penyediaan infrastruktur termasuk dari sudut logistik yang seringkali dikagumi pelabur.
"Nilai mata wang kita sebenarnya masih stabil dan kuat walaupun berlaku sedikit penurunan. Ini adalah kesan secara langsung daripada pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan bukannya disebabkan kita semakin lemah. Sudah tentu perkara itu tidak menjejaskan usaha kita untuk menarik minat pelabur.
"Mengenai GST pula, Malaysia merupakan negara teratas yang meletakkan pengecualian cukai tersebut terhadap pelbagai barangan. Jadi impaknya kepada Indeks Harga Pengguna (CPI) tidak jauh daripada satu peratus sekali gus tidak mendatangkan masalah besar pada pelabur," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Perniagaan, Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Mustapa bagaimanapun mengakui, beberapa masalah dihadapi syarikat yang terlibat dalam zon industri bebas cukai berhubung pelaksanaan GST namun sebahagian besar isu itu sudah pun diselesaikan hasil perbincangan antara pihaknya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Kewangan.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire