jeudi 26 mars 2015

Jamin perjuang isu nelayan




Azalina menyerahkan duit sara hidup kepada ahli Persatuan Nelayan Kawasan Pengerang



KOTA TINGGI - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, memberi jaminan bahawa isu dan masalah melibatkan nelayan dalam kawasan tersebut akan diperjuang hingga selesai.



Menurutnya, isu nelayan yang berlaku bukan sahaja mendapat perhatian wakil rakyat, malah kementerian dan agensi berkenaan juga telah maklum.



"Isu membabitkan nelayan akan terus jadi perhatian termasuk kepimpinan negara. Malah pada April ini, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan ke Pengerang untuk membantu nelayan melalui sumbangan jaring dan kelengkapan sekolah.



"Usah bimbang kerana masalah dihadapi nelayan sentiasa dalam perhatian saya dan Adun," katanya pada Majlis Penyerahan Duit Sara Hidup Nelayan di Dewan Kejora Bandar Penawar, semalam.



Hadir sama, Adun Tanjung Surat, Datuk Ir Syed Sis Abd Rahman; Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Johor, Khairolnesak Omar dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pengerang, Abu Bakar Mohamad.



Seramai 532 ahli nelayan kawasan Pengerang menerima duit sara hidup sebanyak RM200 seorang pada majlis tersebut.



Azalina turut mengingatkan nelayan agar menyuarakan masalah dihadapi kepada ketua mereka agar jalan penyelesaian dapat dicari.



Jelasnya, nelayan perlu luahkan masalah dihadapi kerana banyak isu yang perlu diselesaikan dan bukan sekadar datang majlis ambil wang bantuan dan pulang begitu sahaja.



Terdahulu, Sinar Harian melaporkan masalah yang berlaku membabitkan nelayan di Kampung Punggai dan Taman Bayu Damai ekoran kawasan pencarian ikan yang menjadi isu selepas penduduk terlibat projek Rapid berpindah ke petempatan baharu itu.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire