samedi 28 mars 2015

Bekas banduan dipakaikan EMD








Oleh ILAH HAFIZ AZIZ 
dan MASZUREEN HADZMAN


pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 28 Mac



Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pemakaian sistem peranti pemantauan elektronik (EMD) terhadap penjenayah berisiko yang telah menjalani hukuman mengikut undang-undang, seawal-awal bulan depan.



Pelaksanaan itu sebagai satu usaha terbaharu PDRM dalam mengurangkan aktiviti jenayah berulang dalam kalangan suspek-suspek yang sama.



Alat pemantauan itu difahamkan akan dipakaikan kepada individu atau suspek yang keluar daripada penjara selama dua tahun bagi mengelakkan mereka kembali melakukan jenayah.



Suspek-suspek yang akan diberi tumpuan untuk memakai alat itu adalah ahli kumpulan kongsi gelap, pengedar dadah, penjenayah yang didakwa mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) khususnya mereka yang mampu mengancam keselamatan awam.



Mingguan Malaysia difahamkan, EMD turut dipakai kepada suspek yang ditahan menerusi dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).



Sumber memberitahu, pelaksanaan pemakaian itu telah lama diluluskan kerajaan dan PDRM dipertanggungjawab untuk melaksanakan sistem pemantauan itu seawal-awalnya April ini.



Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan pelaksanaan pemakaian alat itu dan setakat ini, satu prosedur operasi standard (SOP) sedang diusahakan.



“EMD merupakan salah satu program pencegahan jenayah yang diusahakan PDRM bagi mengurangkan kadar jenayah di dalam negara dan perkara itu selari dengan kewujudan POCA.



“Setiap suspek yang dituduh di mahkamah di bawah Kanun Keseksaan dan berisiko untuk kembali terjebak dalam aktiviti jenayah yang sama atau lain-lain selepas selesai menjalani hukuman akan memakai alat ini di kaki mereka.



“Setiap pergerakan mereka akan dipantau rapi dan polis akan mengetahui setiap kegiatan mereka seperti hala tuju, dengan siapa mereka bersama dan di mana mereka berada. Langkah ini membantu polis memantau dan mengurangkan peluang untuk mereka melakukan semula jenayah,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini baru-baru ini.



Dua tahun lalu, kerajaan meluluskan pemasangan EMD ke atas penjenayah tertentu namun hanya bagi yang ditahan di bawah SOSMA.



Perkara itu disahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Patail yang menyokong usaha berkenaan bagi mengurangkan jenayah dalam negara.



EMD telah lama digunakan di beberapa buah negara besar dunia antaranya Amerika Syarikat (AS) sejak 1994 dan terbukti pemakaian alat pesalah jenayah itu mengurangkan kesalahan berulang.




Aucun commentaire:

Enregistrer un commentaire