Wan Zulkiflee Wan Ariffin
KUALA LUMPUR 30 Mac – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), akan terus menumpukan usaha untuk mengawal kos operasinya, memandangkan pemegang-pemegang saham syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) kini lebih mengutamakan pulangan pelaburan berbanding meningkatkan pertumbuhan perniagaan.
Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, hal itu berikutan kedudukan harga minyak dunia pada masa ini yang sangat berbeza berbanding dua tahun lalu ketika harga komoditi itu didagangkan pada AS$110 (RM396) setong.
Katanya, Petronas juga akan memantau perkembangan pasaran semasa termasuk kesan daripada krisis geopolitik yang berlaku di Asia Barat pada masa ini.
“Pemegang-pemegang saham syarikat O&G kini menyedari pulangan yang bakal diperoleh amat berbeza berbanding sebelum ini.
“Dengan tekanan kejatuhan harga minyak dan peningkatan kos, setiap syarikat kini lebih mengutamakan pulangan kepada pemegang-pemegang saham berbanding pertumbuhan syarikat. Kami kini juga menumpukan usaha pengurangan perbelanjaan modal dan menumpukan usaha rasionalisasi perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pengenalan Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2016 (OTC 2016) di sini hari ini. Persidangan itu akan diadakan di Kuala Lumpur pada 22 hingga 25 Mac 2016.
Petronas bagi tahun kewangan 2014 akan membayar dividen sebanyak RM26 bilion kepada kerajaan secara berperingkat berbanding RM27 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata, syarikat itu menjangka hanya mampu memberi sumbangan dividen RM17 bilion bagi tahun kewangan 2015 jika harga purata minyak tahun ini berlegar sekitar AS$75 (RM270) setong.
Harga minyak dunia ketika ini berlegar sekitar AS$56.41 (RM203) setong.
Bagaimanapun, kata Wan Zulkiflee, beliau masih percaya perkembangan industri O&G di Asia akan terus berkembang pesat didorong oleh jangkaan populasi berpendapatan pertengahan seramai tiga bilion di rantau ini pada 2030, iaitu 10 kali dan lima kali lebih ramai berbanding di Amerika Utara dan Eropah.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire