Khoo Kay Kim (kanan) berjabat tangan dengan Mohamad Sabu selepas memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman fitnah melibatkan Timbalan Presiden Pas itu di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, semalam. Utusan/Sazali Che Din
BUTTERWORTH 27 Mac - Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan bahawa anggota polis yang terlibat dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada Februari 1950 berkhidmat kepada Raja-Raja Melayu dan bukannya kepada British.
Ini kerana pemerintahan Tanah Melayu pada masa itu di bawah Raja-Raja Melayu manakala British bertindak sebagai pentadbir berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani kedua-dua pihak.
Perkara itu dimaklumkan oleh pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim ketika menjawab soalan peguam, Mohamed Hanipa Maidin pada perbicaraan kes saman fitnah melibatkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Beliau juga menegaskan Tanah Melayu terutama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu pada masa itu tidak pernah dijajah oleh British sebaliknya hanya dinaungi oleh kuasa Barat tersebut.
“Secara praktiknya polis yang ada pada masa itu berada di bawah pentadbiran British namun begitu Raja-Raja Melayu masih memiliki kuasa mutlak sebagai pemerintah.
“Tanah Melayu secara keseluruhannya juga tidak dijajah kerana Sir Hugh Clifford pada 1927 menggelarkan Tanah Melayu sebagai Negeri Melayu Naungan British,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim, Kay Kim menjelaskan, Mat Indera yang dikaitkan dengan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong itu cenderung kepada perjuangan komunis Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan Mokhtaruddin Lasso dari Sumatera.
Jelasnya, perjuangan PKMM adalah berlandaskan komunis menyebabkan pihak British pada masa itu tidak berunding dengan mereka mengenai masa depan Tanah Melayu dan melakukan perbincangan dengan UMNO.
“Komunis tidak menyokong perjuangan negara bangsa yang dibawa oleh British di Tanah Melayu kerana mereka lebih cenderung untuk mewujudkan Order Komunis Dunia.
“Mat Indera terpengaruh dengan perjuangan itu yang dibawa oleh PKMM menyebabkan dia menyertai komunis dan mengetuai serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong,” ujarnya.
Kay Kim merupakan saksi terakhir pada perbicaraan ke atas Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, 60, yang didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi kemudiannya menetapkan 27 April depan untuk pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu untuk menyerahkan hujahan bertulis sebelum mahkamah membuat keputusan.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire